BOMBA JUNIOR DI 11 SK MENJELANG HUJUNG TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 17 Oktober – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menyasarkan penubuhan pasukan pakaian seragam Bomba Junior sekurang-kurangnya di 11 sekolah rendah (SK) seluruh negeri ini menjelang hujung tahun.

Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd Pisar Aziz berkata, antara tujuan penubuhan pasukan beruniform itu adalah untuk memberi pendedahan kepada murid mengenai peranan JBPM dan ilmu kebombaan.

Katanya, usaha itu juga mampu memupuk budaya cakna terhadap aspek keselamatan, meningkatkan kesedaran mengenai risiko kemalangan serta kebakaran selain langkah pencegahan perlu dilakukan.

“Kanak-kanak memiliki perasaan ingin tahu yang tinggi, jadi ini adalah masa paling sesuai untuk berikan pendedahan kepada mereka mengenai langkah yang betul untuk mencegah kebakaran dan kemalangan.

“Setakat ini Bomba Junior sudah ditubuhkan di enam sekolah, sasaran kita adalah untuk meningkatkan jumlah itu kepada 11 menjelang hujung tahun nanti. Setiap sekolah kita sasarkan pembabitan antara 20 hingga 30 murid,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bomba Junior SK Tun Syed Ahmad Shahabudin (SAS) , Ayer Keroh, hari ini.

Mohd Pisar berkata, guru terpilih dari setiap sekolah akan menjalani kursus sebagai jurulatih dikendalikan oleh JBPM bagi memastikan mereka memiliki pengetahuan dan ilmu sesuai untuk melatih Bomba Junior.

“Pendedahan untuk guru membabitkan modul-modul tertentu termasuk kawad kaki, asas keselamatan aktiviti air, pertolongan cemas dan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

“Penyertaan terbuka kepada murid tahap dua iaitu Tahun tiga hingga enam, namun keutamaan adalah untuk murid Tahun empat dan keatas,” katanya.

Jelasnya, setakat ini pasukan Bomba Junior sudah ditubuhkan di SK Bachang, SK Tanjung Minyak 2, SK Tun Razak, SK Rembia, SK Parit Melana dan SK Tun SAS.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

148
Kongsi :
Previous post PAMERAN BERASASKAN TEKNOLOGI PERLU DITERUSKAN
Next post DUA BERANAK MELECUR, RUMAH SEWA RENTUNG
Ubah saiz-+=