Bonus raya penjawat awam Melaka belum muktamad

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

SERI BENDAHARA 28 April. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali memberi bayangan pemberian bonus raya buat penjawat awam Melaka belum muktamad biarpun sebelum ini dilaporkan mungkin tiada pada tahun ini.

Beliau berkata, perkara itu belum diputuskan memandangkan masih terlalu awal dan ia mungkin boleh berubah pada bila-bila masa.

Katanya, beliau berharap penjawat awam negeri ini terus komited melaksanakan tugas dan sentiasa berdiri teguh untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat walau apa juga keputusannya nanti.

MAJLIS diserikan dengan kehadiran Tun Mohd Ali.

“Apabila tiba musim perayaan mungkin penjawat awam menantikan sesuatu yang boleh diberikan oleh kerajaan negeri dan kebetulan tempoh hari saya ada menyebutkan mengenai perkara ini (tiada bonus buat penjawat awam).

“Tetapi setiap perkara selagi kita celik mata anggaplah ia ujian. Kalau tak dapat (bonus) ia adalah ujian dan kalau dapat pun ia masih lagi ujian.

“Buat masa ini masih belum timbul ilhamnya lagi. Tetapi hari ini baru hari ke-15 kita berpuasa, mungkin hari ini lain, esok dan lusa juga lain atau mungkin juga ia akan terus kekal seperti mana yang disebutkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Sambutan Ihya Ramadan bersama penjawat awam Negeri Melaka di kediaman rasminya di sini, malam tadi.

Majlis disertai kira-kira 200 penjawat awam itu turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan, barisan Exco Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan dan lain-lain kenamaan.

TUN Mohd Ali (tengah) dan Sulaiman (kiri) mengaminkan doa selepas solat Maghrib berjemaah pada Majlis Ihya Ramadan dan Berbuka Puasa bersama Anggota Perkhidmatan Awam, di Seri Bendahara, malam tadi.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan kira-kira 7,500 penjawat awam dan pesara di negeri ini mungkin tidak dapat merasai pembayaran bantuan khas kewangan di atas faktor kewangan kerajaan negeri yang merosot dek penularan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Sulaiman dalam ucapannya optimis kesemua 40,156 orang penjawat awam (negeri dan persekutuan) di Melaka boleh menjadi ejen berkesan kepada kerajaan negeri bagi membantu meyakinkan masyarakat untuk mendaftar penerimaan suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata, kerjasama penjawat awam dalam menyebarkan fakta sebenar mengenai vaksin amat penting supaya masyarakat tidak dipesongkan dengan berita palsu yang disebarkan golongan antivaksin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

553
Kongsi :
Previous post Kerajaan belanja RM2.8 trilion bagi Program Imunisasi Kebangsaan sejak 1957
Next post Kasih keluarga ‘dikorbankan’ demi kedaulatan negara
Ubah saiz-+=