Kasih keluarga ‘dikorbankan’ demi kedaulatan negara

Masa Membaca:3 Minit, 3 Saat

KUALA LINGGI 28 April. – Tidak ramai yang mampu menggalas tugas bertahun berada di negeri orang demi tanggungjawab kepada negara hingga terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anak tercinta.

Lebih-lebih lagi terpaksa menahan sebak tatkala menjalani ibadah puasa dan mengenang Syawal tiba tidak lama lagi.

Hakikatnya, itulah tanggungjawab yang dicurahkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan yang mengawal sempadan perairan negara tanpa rasa jemu dengan getir cabaran, malah ditambah dengan kawalan yang semakin ketat sejak pandemik COVID-19 mulai melanda negara tahun lalu.

ANGGOTA APMM berbuka puasa di atas bot peronda semasa menjalankan tugasan meronda di perairan Selat Melaka. Foto: MR. Azli

Bagi Laskar Kanan Maritim, Muhammad Fikri Rozan yang ditugaskan di negeri ini sejak enam tahun lalu sudah lali dengan keadaan terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak tersayang yang kini menetap di Marang, Terengganu.

Katanya, tugasan itu adalah tanggungjawab diamanahkan demi mengawal kedaulatan perairan sempadan negara supaya kekal selamat dari sebarang jenayah.

MUHAMMAD Fikri. Foto: MR. Azli

“Pengalaman berpuasa di tengah lautan bagi pasangan jarak jauh seperti saya memang ada sedikit beza terutama menahan perasaan ketika waktu berbuka apabila terkenang anak dan isteri.

“Apabila bertahun berjauhan dengan keluarga hanya panggilan video yang mampu mengubat rindu di hati. Itu pun bergantung kepada liputan Internet…, jika bernasib baik ketika bertugas di lautan dapatlah tengok anak-anak berbuka puasa bersama.

“Pernah (bulan puasa) pada 2019 kami dilanda ribut ketika dalam perjalanan dari Pulau Besar ke Pantai Puteri, jadi ketika itu kami berbuka apa yang ada iaitu mengalas perut bersama kurma dan air mineral,” katanya yang bertugas selama 13 tahun di APMM.

Menurutnya, peranan dalam keluarga buat masa ini perlu dikorbankan seketika demi tugasan mengawal keselamatan perairan negara.

“Untuk pekerjaan seperti ini soal keluarga memang kena letak tepi dulu. Kita terpaksa berkorban demi menjaga perairan negara terutama dalam keadaan negara menghadapi pasca pandamik COVID-19.

“…jika terlalu fikir keadaan keluarga kita memang tidak boleh kerja, jadi ia perlu seimbang dan fokus kepada tanggungjawab yang diberi,” katanya ditemui pada program berbuka puasa bersama APMM di atas bot peronda di perairan Selat Melaka.

AHMAD Nazri. Foto: MR. Azli

Bagi Laskar Kelas 1 Maritim, Ahmad Nazri Zainal Akmar, 30, sepanjang 10 tahun berkhidmat pelbagai cabaran dihadapinya terutama selepas enam tahun ditugaskan di APMM negeri ini, mencetus pengalaman berbeza mengenai trend jenayah di Pantai Timur dan selatan tanah air.

Katanya, di Pantai Timur kebanyakan kes menumpaskan pencerobohan nelayan asing dari negara jiran seperti Vietnam, manakala di negeri ini dia berdepan pelbagai kemungkinan antaranya penyeludupan barangan haram dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui perairan Selat Melaka.

“Tugas paling mencabar ketika satu operasi mengejar dan memintas bot penyeludup PATI selama 45 minit kerana pemandunya tidak memberi kerjasama.

“Kami juga tidak boleh berkeras kerana bot itu penuh dengan lebih 30 PATI termasuk kanak-kanak dari Indonesia.

“Malah seorang daripada mereka turut mendukung seorang kanak-kanak dan mengugut untuk mencampakkannya ke laut jika bot kami menghampiri dan berkasar dengan mereka.

“Namun, mereka berjaya ditumpaskan disebabkan kerosakan teknikal enjin,” katanya.

Menyentuh persiapan Aidilfitri kali ini beliau reda sekiranya ini tahun keduanya tidak beraya bersama keluarga besarnya di Sabah demi tugas.

Bagaimanapun katanya, mujur isteri dan anaknya menetap di negeri ini dan berharap dapat pulang ke kampung sekiranya wabak yang melanda ini pulih pada masa akan datang.

“Buat masa ini memang tak boleh nak balik sebab tak dibenarkan merentas negeri, jadi tahun ini saya berpuasa bersama isteri dan anak serta rakan setugas yang susah dan senang bersama dalam perjuangan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

918
Kongsi :
Previous post Bonus raya penjawat awam Melaka belum muktamad
Next post Kerajaan dicadang beri geran tetap kepada NGO tangani masalah dadah
Ubah saiz-+=