Buang pelitup muka dalam tong sampah

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KUALA LINGGI 20 Sept – Jangan buang pelitup muka merata-rata tempat. Ia harus dibuang ke dalam tong sampah bagi memastikan kebersihan dan kesihatan terpelihara.

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali kepada rakyat Melaka kerana ia menyebabkan kekotoran dan mempamerkan imej negatif masyarakat.

“Tahun ini kita menjangka kemunculan sisa baharu, iaitu sisa pelitup muka akibat pandemik COVID-19 dan bagi membendung masalah ini, kita menggalakkan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam aktiviti penjagaan kebersihan persekitaran.

“Ia penting agar kita dapat berganding bahu memastikan Melaka sentiasa berada dalam keadaan bersih, indah dan sejahtera,” katanya pada perasmian program Pembersihan Dunia Peringkat negeri di Pantai Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan EXCO Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman.

Hadir sama, Pengarah Kewangan yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ummi Khalthum Shuib; Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Abdul Mutalib; Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Salehon dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Mohd Fadhil Hassan.

Sulaiman berkata, sistem pengurusan sisa pepejal yang berjaya dan mampan bukan hanya bergantung kepada operasi dan program yang dilaksanakan, malah sikap anggota komuniti.

“Perkara paling utama ialah anggota masyarakat perlu lebih bijak menguruskan sisa yang bermula dari rumah, iaitu mengasingkan sisa pepejal dan mengamalkan perkara yang paling asas membuang sampah ke dalam tong sampah.

“Pemikiran anggota masyarakat harus berlandaskan keadaan yang bersih dan bebas daripada sampah tetapi masih ada anggota masyarakat yang masih mengamalkan sikap membuang sampah merata-rata seperti tempat rekreasi, tempat awam, stesen bas, laluan penjalan kaki dan jalan raya, katanya.

Beliau menegaskan, pengurusan sisa pepejal bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, malah ia menuntut kerjasama keseluruhan anggota masyarakat.

Views:

422
Kongsi :
Previous post Komuniti Hab kenal pasti keperluan penduduk
Next post Melaka bakal menjadi hab menjual produk layang-layang
Ubah saiz-+=