Buat aduan jika pokok berisiko tumbang – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PAYA RUMPUT 5 November – Penduduk di negeri ini dinasihatkan agar segera membuat aduan mengenai pokok-pokok besar yang berisiko tumbang dan mengancam keselamatan orang ramai

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, aduan itu boleh disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat atau beliau sendiri jika masih tiada tindakan diambil.

“Saya dapat lihat sendiri ada dua pokok tua iaitu di Kampung Tampoi dan Cheng yang memang sepatutnya ditebang. Jika berlaku ribut pokok berkenaan berisiko tumbang dan mengancam keselamatan orang ramai.

“Sehingga semalam (Sabtu) pun saya masih menerima laporan terdapat pokok-pokok besar tumbang masih belum dibersihkan.

“Sebab itu sebagai PBT atau agensi terlibat, kita sendiri perlu mengenal pasti pokok-pokok yang berisiko ini untuk ditebang atau dicantas, jangan hanya tunggu aduan atau perkara tidak dingini berlaku baharu bertindak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Penyampaian Sumbangan Deepavali 2023 Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Japerun Paya Rumput, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MIC Tangga Batu, Datuk Wira M.S Mahadevan dan Pengurus Besar SWM Environment Sdn. Bhd. Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Rais berkata, bagaimanapun pihak PBT sedang berusaha memastikan perkara tersebut dapat diselesaikan, sekali gus mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Saya sedang berbincang dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman, memang setiap PBT ada jabatan landskap mereka sendiri yang bertanggungjawab dan memastikan cantasan pokok ini dilaksanakan secara berjadual.

“Cuma saya lihat perlu banyak penambahbaikan, jadi saya akan berjumpa Datuk Bandar selepas beliau pulang dari luar negara bersama semua Yang Dipertua PBT dan pengarah landskap ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1782
Kongsi :
Previous post 11 rumah, bengkel motosikal rosak akibat ribut di Batu Berendam
Next post Pengusaha taska, pusat jagaan diminta tampil membuat permohonan
Ubah saiz-+=