Pengusaha taska, pusat jagaan diminta tampil membuat permohonan
AYER MOLEK 5 November – Pengusaha taska dan pusat jagaan di Negeri ini yang masih belum berdaftar diminta segera tampil untuk membuat permohonan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini sedang mendapatkan maklumat membabitkan taska yang beroperasi tanpa lesen.
Kalsom berkata, sebelum ini JKM sudah melaksanakan pemeriksaan dan hasilnya mendapati ada taksa yang sedang menunggu kelulusan berikutan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Kita faham proses kelulusan lesen ini memakan masa kerana membabitkan pelbagai agensi, namun bagi pemilik atau pengusaha yang masih belum membuat permohonan diminta berbuat demikian dengan segera.
“Menguruskan operasi sebuah taksa bukan perkara yang mudah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program 3S, Senam, Sihat, Sejahtera Anjuran Persatuan Kebajikan Muslimah Melaka, di Ayer Molek, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, pihaknya amat berharap isu taska atau pusat jagaan beroperasi tanpa lesen di negeri ini dapat ditangani sebaik mungkin kerana ia membabitkan keselamatan anak-anak.
“Bagi menyelesaikan isu ini dan mendengar pemasalahan mereka sebelum ini saya ada berbincang bersama pengusaha taska begitu juga agensi yang terbabit.
“Insya-Allah dari semasa ke semasa, masalah ini akan diatasi sebaik mungkin malah saya turut meminta kerjasama semua pihak untuk turut memainkan peranan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.