Sorting by

×

Ceriakan sambutan perayaan golongan memerlukan

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PAYA RUMPUT 5 November – Pihak swasta diminta untuk bersama-sama aktif dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan khususnya setiap kali menjelang musim perayaan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata insiatif itu bagi membantu menceriakan lagi sambutan perayaan buat golongan kurang berkemampuan.

“Kali ini kita salurkan sumbangan kepada 50 penerima masyarakat India bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang akan menyambut Perayaan Deepavali tidak lama lagi.

“Usaha ini adalah menerusi kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment). Sebagai makluman Paya Rumput juga merupakan antara DUN yang mempunyai penduduk berketurunan India paling ramai dan kita akan sampaikan kepada 50 lagi penerima sumbangan pada fasa berikutnya.

“Jadi saya berharap lebih banyak lagi syarikat-syarikat korporat di Melaka yang sudi turun padang bagi menceriakan golongan kurang berkemampuan ini,” katanya pada sidang media selepas Program Penyampaian Sumbangan Deepavali 2023 DUN Paya Rumput di Japerun Paya Rumput, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MIC Tangga Batu, Datuk Wira M.S Mahadevan dan Pengurus Besar SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Katanya, bagi fasa kedua penyerahan sumbangan adalah pada 8 November ini yang membabitkan seramai 50 penerima.

“Saya dapat lihat keceriaan pada raut wajah setiap penerima sumbangan ini, kita tahu Deepavali ini merupakan perayaan yang besar bagi masyarakat India,” katanya.

Sementara itu P. Kamala, 73, bersyukur kerana buat pertama kali terpilih menerima sumbangan sempena Perayaan Deepavali.

“Terima kasih atas sumbangan disampaikan. Ini kali pertama saya dapat sumbangan bolehlah tambah sedikit untuk persiapan raya tahun ini, dulu saya selalu belikan baju raya untuk cucu, tetapi sekarang apa yang ada sahaja.

“Lagi pun saya hanya bekerja sebagai tukang cuci (cleaner), jadi pendapatan pun tidak begitu banyak,” katanya yang menetap di Taman Bertam Jaya.

Seorang lagi penerima R.S Morgan, 79, berkata biarpun sumbangan itu tidak besar, namun amat bermakna buat dirinya.

“Kita tidak tahu ramai rakyat yang sedang susah, ada yang anak ramai jadi dengan sumbangan ini dapat membantu beli keperluan menyambut Deepavali.

“Syukur dengan sumbangan diberikan, sebenarnya saya datang ambil sumbangan untuk isteri saya yang tidak sihat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1159
Kongsi :
Previous post Pengusaha taska, pusat jagaan diminta tampil membuat permohonan
Next post KKM lihat keperluan beku cuti kakitangan sebagai persediaan hadapi banjir
Ubah saiz-+=