Buat sanitasi masjid guna mesin semburan nyahkuman dan sanitasi

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PANTAI KUNDOR 7 April – Walaupun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah dilaksanakan, program sanitasi masjid penting dibuat bagi memastikan rumah ibadat itu bebas daripada penularan virus berkenaan.

Menyedari hal itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan tampil menyumbang mesin semburan nyahkuman dan sanitasi kepada sembilan masjid di sini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kurma, air galian dan sejadah serta wang tunai RM2,000 untuk kegunaan jemaah, terutama ketika Ramadan kelak.

NOR Azman (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada pihak pengurusan Masjid Taman Tanah Merah Jaya, Tanjung Kling.

Sekali gus pengurusan sembilan masjid di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di sini tidak perlu lagi menunggu pihak tertentu melakukan sanitasi di masjid masing-masing.

Pengerusi Masjid al-Mohsinin Pantai Kundor, Rahmad Bakar, 58, berkata beliau bersyukur menerima alat berkenaan kerana selama ini, pihak masjid hanya berharap pada kerja sanitasi secara percuma yang dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Alhamdulillah, dengan adanya mesin ini, bolehlah kami melakukan sanitasi secara berjadual berbanding keadaan sebelum ini yang hanya berharap pada sumbangan amal jariah NGO,” katanya ketika ditemui di masjid itu hari ini.

Pengerusi Masjid Ibdur Rahman, Tangga Batu, Samsudin Ajis, 78, berkata mesin asap itu diyakini mampu meningkatkan tahap kebersihan dalam masjid.

NOR Azman (kanan sekali) menunjukkan cara menggunakan mesin asap untuk melakukan sanitasi kepada Samsudin. Foto Din Ahmad

Beliau berkata, sumbangan kurma dan wang berkenaan akan dimanfaatkan untuk kegunaan anak kariah sepanjang Ramadan yang dijangka bermula Selasa depan.

Setiausaha Masjid as-Sobirin Kampung Gelam Mohd Zainudin Mohd Yusof, 62, berkata, mesin berkenaan penting untuk membantu memelihara persekitaran dalam dewan solat daripada virus yang menyebabkan pandemik berkenaan.

Selain sembilan masjid, sebanyak 22 surau diberikan sumbangan air minuman dan kurma bagi membantu program berbuka puasa di surau.

Peruntukan barangan itu tidak termasuk sumbangan yang bakal diberikan kepada anggota komuniti sepanjang Ramadan kelak bagi membantu mereka menyambut Aidilfitri dengan gembira, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1075
Kongsi :
Previous post JDT terus gah terajui carta Liga Super
Next post Kalau sudah minat, usia bukan penghalang
Ubah saiz-+=