Buaya jantan 400 kilogram ditemui mati terapung

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BAGAN SERAI 8 Jun – Seekor buaya jantan sepanjang lima meter dan seberat kira-kira 400 kilogram, ditemukan mati terapung oleh penduduk kampung di sungai di Kampung Teluk Peribu petang semalam.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Sharif berkata, buaya jantan itu yang ditemui terapung kira-kira jam 4 petang semalam itu dipercayai telah mati dalam dua hingga tiga hari sebelum ditemukan terapung oleh penduduk.

Beliau berkata ketika ditemui, badan haiwan ini sudah mereput dan giginya juga telah luruh dan percaya ia mati kerana faktor usianya yang tua.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Sharif. Foto FB Perhilitan Perak.

“Bangkai buaya itu telah ditarik naik ke daratan dengan menggunakan traktor penduduk setempat, setelah cubaan menarik mengunakan kenderaan gagal kerana berat haiwan itu.

“Kita telah menanam bangkai haiwan itu pada malam tadi bagi mengelakkan pencemaran,” katanya.

Sementara itu Mohamad Norlishazany Rosli, 24, yang menemui bangkai buaya tersebut berkata, beliau pada mulanya menyangkakan objek besar yang dilihatnya terapung dan tersangkut pada tumbuhan air itu merupakan pohon kayu yang hanyut.

Bagaimanapun selepas diamati barulah disedari ia seekor buaya dan terus menghubungi rakannya untuk pergi melihatnya menggunakan sampan secara dekat.

“Setelah sampai ke tempat buaya itu didapati ia sudah mati lalu kami mengambil tali untuk mengikat bangkai buaya berkenaan untuk menariknya ke tepi tebing sungai.

“Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di sini telah menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kuala Gula untuk memaklumkan penemuan bangkai buaya itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

914
Kongsi :
Previous post PM menghadap Agong di Istana Negara
Next post Lelaki dikhuatiri lemas terjatuh ketika memancing
Ubah saiz-+=