Sorting by

×

Buka sempadan: Pengembara luar masuk Malaysia perlu muat turun MySejahtera

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SEPANG, 20 Mac – Malaysia menyediakan protokol untuk pengembara sempena pembukaan semula sempadan negara pada 1 April bagi menjadikan Malaysia destinasi selamat serta mengelakkan kesesakan di pintu masuk antarabangsa.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata protokol itu antara lain memerlukan pengembara memuat turun aplikasi MySejahtera, memuat naik keputusan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sebelum berlepas dan mengisi borang prapelepasan.

“Banyak syarat prapelepasan yang perlu diselesaikan pengembara,” katanya pengembara akan mendapat kad pengembara dalam aplikasi MySejahtera apabila semua syarat itu dilengkapkan untuk dibenar menaiki pesawat.

Khairy berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong semalam selepas meninjau kesiapsiagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sempena pembukaan sempadan negara bermula 1 April ini.

Apabila tiba di Malaysia, pengembara perlu membuat ujian pantas antigen (RTK-Ag) profesional dalam masa 24 jam sama ada di dalam lapangan terbang atau di klinik atas kos sendiri, katanya.

Khairy berkata kaedah ujian COVID-19 melalui pernafasan juga disediakan di KLIA bagi pengembara yang ingin menyelesaikan saringan di dalam lapangan terbang.

“Ujian pernafasan itu telah diluluskan KKM (Kementerian Kesihatan) dan selepas diuji mendapati ketepatan dan sensitiviti memuaskan,” katanya.

Khairy berkata protokol itu dapat mengurangkan masa daripada pendaratan hingga keluar dari lapangan terbang kepada antara 35 dan 45 minit seperti dahulu, berbanding sebelum ini yang mengambil masa lebih sejam.

Menurut Khairy, prinsip kerajaan dalam pembukaan sempadan negara adalah selamat dan tiada birokrasi seperti pemakaian pengesan digital.

“Bermula 1 April, Malaysia akan dibuka semula kepada dunia dan ini merancakkan pembangunan dan pemulihan ekonomi negara memandangkan sektor pelancongan menyumbang lebih 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara termasuk pengembara perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Wee berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mengarahkan semua syarikat penerbangan yang ingin terbang masuk Malaysia untuk memaklumkan kepada para penumpang tentang prasyarat sebelum menaiki pesawat.

“Ini bagi mengelakkan kesesakan di balai ketibaan,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

923
Kongsi :
Previous post PM adakan lawatan rasmi ke Vietnam hari ini
Next post Ismail Sabri pikat hati pemimpin, perwakilan UMNO
Ubah saiz-+=