Sorting by

×

PM adakan lawatan rasmi ke Vietnam hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi sulung beliau ke Vietnam dari 20 hingga 22 Mac ini.

Lawatan rasmi itu mencerminkan kepentingan hubungan Malaysia–Vietnam selaku negara jiran dan rakan kongsi dalam ASEAN. Kedua-dua negara bakal menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2023.

“Lawatan itu diadakan atas jemputan Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Vietnam,” menurut kenyataan Kementerian Luar malam tadi.

Semasa lawatan itu, Ismail Sabri dan Pham akan menilai kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan 2021 – 2025 Perkongsian Strategik Malaysia–Vietnam.

Kedua-dua pemimpin itu juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Mereka juga akan menyaksikan pertukaran dokumen termasuklah Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Aktiviti Kerjasama Undang-Undang; dan MoU mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja.

Malaysia dan Vietnam turut bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam bidang latihan diplomatik, yang akan dizahirkan melalui satu Surat Niat.

Di samping itu, satu Perjanjian Kerjasama Profesional antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Agensi Berita Vietnam akan turut dimeterai, menurut kenyataan itu.

Berdasarkan program yang disusun oleh Vietnam, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan berasingan dengan Setiausaha Agong Parti Komunis Vietnam, Presiden Vietnam, dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam.

Menurut kenyataan itu lagi, Ismail Sabri juga akan mengadakan sesi libat urus dengan komuniti perniagaan Malaysia dan bertemu dengan Keluarga Malaysia di Vietnam.

Dalam lawatan itu perdana menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pegawai-pegawai kanan kerajaan daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian yang berkaitan akan turut serta sebagai anggota delegasi. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

741
Kongsi :
Previous post All England: Lakshya ranapkan impian Zii Jia ke final
Next post Buka sempadan: Pengembara luar masuk Malaysia perlu muat turun MySejahtera
Ubah saiz-+=