Bukan gantung diri sebab tekanan PdPR lah!

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 10 Julai – Dakwaan tular mengenai kanak-kanak menggantung diri di sebatang pokok kerana tertekan dengan PdPR sebenarnya adalah kemalangan yang tidak disengajakan.

Difahamkan ketika kejadian Isnin lalu, kanak-kanak berkenaan berdiri di atas basikalnya untuk cuba menggantung buaian di sebatang pokok sambil dibantu beberapa kanak-kanak lain.

Bagaimanapun tiba-tiba, dia tergelincir menyebabkan tali berkenaan terjerut di lehernya sebelum rakan-rakannya yang berada di lokasi menjerit meminta pertolongan daripada penunggang Food Panda yang kebetulan melalui kawasan terbabit.

Penunggang itu kemudian meminta pertolongan daripada jiran murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang itu untuk menyelamatkan mangsa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihak polis menerima laporan dibuat bapa kanak-kanak berkenaan di Balai Polis Bukit Baru jam 3.40 petang tadi.

“Dalam laporan itu, bapa kanak-kanak tersebut menafikan berita seperti yang tular kononnya kejadian berpunca akibat tekanan dengan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Berdasarkan dakwaan yang tular di media sosial hari ini, kanak-kanak berkenaan dikatakan bertindak menggantung diri di pokok akibat tekanan PdPR selain kerap dimarahi ibu bapanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1298
Kongsi :
Previous post COVID-19: Kluster kilang punca kes mendadak di Melaka
Next post 324,745 dos suntikan vaksin COVID-19 diberi semalam
Ubah saiz-+=