‘Bukan kali pertama diserang kepala air’

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

ASAHAN 16 Mei – Kejadian kepala air yang menyebabkan 80 pengunjung terperangkap di kawasan rekreasi air terjun Laman Tiga Budaya, di sini, bukanlah pertama kali berlaku.

Sebaliknya, penduduk sekitar berkata, fenomena itu menjadi kebiasaan setiap kali berlakunya hujan lebat berpanjangan.

Seorang penduduk, Mohd Noor Abu Samah, 51 berkata, kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi dipercayai berlaku ekoran hujan lebat berterusan sejak 10 pagi.

Katanya, kejadian itu berlaku begitu pantas hingga menyebabkan limpahan air deras berwarna kegelapan naik sehingga paras jambatan kecil di kampung berkenaan mengakibatkan laluan terputus dan mangsa terperangkap.

ARUS deras ketika berlaku kepala air

“Bila berlaku kepala air, arus memang deras dan berwarna kehitaman. Ia akan turut membawa serpihan-serpihan kayu pokok tumbang dari atas ke bawah.

“Tapi kejadian ini memang biasa berlaku bila setiap kali hujan lebat. Pernah suatu ketika saya pernah membantu menyelamatkan sekumpulan pengunjung yang terperangkap akibat kepala air sekitar jam 12 tengah malam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia yang juga berkhidmat sebagai pemandu arah bagi kaki ‘hiking’ di kawasan berkenaan sempat menasihati pengunjung agar tidak bersikap sambil-lewa apabila mengunjungi kawasan rekreasi itu.

Dia turut menyarankan mereka yang datang agar menggunakan khidmat petunjuk arah mahupun mendapat kebenaran daripada renjer hutan sebelum melakukan aktiviti di kawasan berkenaan.

Menurutnya, hal itu amat penting, memandangkan kejadian buruk boleh berlalu pada bila-bila masa tanpa dijangka.

SEBAHAGIAN mangsa diselamatkan bomba

“Saya lihat ramai anak muda yang datang setiap hujung minggu. Tapi ada segelintir daripada mereka bersikap sombong. Kalau boleh bila masuk rumah orang berilah salam.

“Di sini banyak kejadian pernah berlaku. Ada kes dua orang pernah lemas dan ada juga yang mati akibat dihempap pokok.

“Jadi itulah pentingnya untuk mana-mana pengunjung, kelab atau persatuan datang meminta izin dan mendengar nasihat daripada orang kampung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1414
Kongsi :
Previous post Sedih kalau lihat anak murid ‘tak jadi orang’
Next post Jabatan Perhutanan Perak hentikan sementara aktiviti mendaki Gunung Suku
Ubah saiz-+=