Bukan PKPD, tapi inisiatif tentera buat kawalan di Kem Terendak

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

SUNGAI UDANG 23 Sept. – Tiada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Kem Terendak, Sungai Udang seperti ditularkan di media sosial sejak beberapa hari lalu.

EXCO Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman ketika menafikan perkara itu berkata, sebaliknya penutupan jalan masuk ke kawasan kediaman penduduk di sekitar kem itu seperti dalam gambar yang tular, adalah inisiatif pihak tentera.

Katanya, langkah itu bertujuan mengawal pergerakan keluar masuk orang ramai lokasi berkenaan.

“Yang kes Kem Terendak itu, sebenarnya berkait Kluster Sungai Udang yang diumumkan pada 11 September lalu…memang ada 155 kes (jangkitan) di Terendak itu.

“Tetapi penutupan rumah kediaman yang kita lihat viral itu sebenarnya itu adalah inisiatif angkatan tentera sendiri.

“Itu adalah inisiatif kem itu sendiri untuk mengawal daripada jangkitan kepada anggota tentera dan juga keluarga.

“Bukan PKPD oleh Jabatan Kesihatan atau Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya di sini.

Rahmad berkata demikian ketika diminta mengulas gambar dan mesej tular mengenai PKPD dikenakan di Kem Terendak ekoran terdapat lebih 100 kes positif COVID-19.

Gambar tular itu menunjukkan beberapa anggota tentera mengawal jalan masuk ke kem berkenaan dengan meletakkan tong sebagai penghalang.

Sementara itu, tinjauan di lokasi petang tadi mendapati suasana operasi perniagaan di Pekan Sungai Udang berjalan seperti biasa tanpa menimbulkan keadaan panik dalam kalangan penduduk.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2314
Kongsi :
Previous post UTeM jangka 6,000 penuntut kembali kampus pada Oktober
Next post Warga emas didakwa bakar rumah bapa teman wanita
Ubah saiz-+=