UTeM jangka 6,000 penuntut kembali kampus pada Oktober

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

MELAKA 24 Sept.- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersedia menerima 6,000 pelajarnya untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara fizikal bermula pada 15 Oktober 2021.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Profesor Ir Dr Ghazali Omar berkata, ia termaktub kepada golongan pelajar yang telah menerima vaksinasi lengkap dan cukup tempoh matang dalam kategori berkeperluan di samping pematuhan penuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperincikan.

Jelas beliau, anggaran 6,000 pelajar itu mengambil kira 50 peratus jumlah kapasiti pelajar keseluruhan UTeM pada masa kini, manakala 10 peratus daripadanya pula adalah anggaran jumlah yang dibenarkan bagi penuntut pascasiswazah.

“Sebanyak 4,240 penginapan ditawarkan kepada pelajar yang bekeperluan yang akan menginap di kolej kediaman manakala selebihnya akan duduk di luar kampus.

“Bagi Kelulusan permohonan kolej kediaman dilaksanakan secara berfasa mengikut tarikh yang telah ditetapkan oleh UTeM dengan menggunakan Sistem Maklumat Pelajar (SMP),” ujarnya lagi.

Mengulas konsep PdP pula, beliau berkata, ia akan dilaksanakan menerusi kaedah hibrid termasuk secara dalam talian atau secara bersemuka bersesuaian dengan program akademik yang sedang diikuti oleh pelajar terbabit.

“Bagi pelajar yang berkeperluan dan tinggal di luar kampus pula boleh juga mengikuti PdP secara hibrid, dalam talian atau bersemuka mengikut kesesuaian kursus yang diambil.

“Sementara itu, bagi pelajar yang tidak kembali ke kampus pula mereka masih perlu mengikuti PdP secara dalam talian mengikut kesesuaian kursus yang diambil,” ujarnya.

Dari aspek kadar vaksinasi dalam kalangan warga kerjanya, sehingga hari ini UTeM telah mencapai lebih 93 peratus staf nya lengkap dua dos suntikan vaksin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

811
Kongsi :
Previous post MIDA, Invest Melaka seiring tarik kedatangan pelabur
Next post Bukan PKPD, tapi inisiatif tentera buat kawalan di Kem Terendak
Ubah saiz-+=