Bukit Melaka: DAP jangan bakar api perkauman
AYER KEROH 4 Mac – “Kami menasihatkan DAP agar jangan cuba membakar api perkauman sedangkan mereka buta sejarah,” kata EXCO Pelancongan, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang membidas kenyataan disebarkan salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu.
Beliau berkata, pertukaran nama Bukit St. Paul kepada Bukit Melaka bukan berniat merosakkan mana-mana sejarah warisan bangsa negeri ini.
“Bukit Cina adalah lambang keharmonian dan penerimaan masyarakat melayu di zaman kesultanan terhadap bangsa Cina dan lantaran itu terlahirlah golongan Baba dan Nyonya.
“Kerajaan negeri kesal tindakan sesetengah pihak yang masih menggunakan ‘bau’ perkauman demi mencapai populariti murahan.
“Matlamat kerajaan negeri adalah untuk mengimarahkan sejarah asal negeri melaka yang melibatkan semua bangsa tidak kira apa agama yang telah berada di zaman kesultanan melaka yang yang bukan dari lantaran kesan penjajah,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, menerusi hantaran seorang ADUN DAP mempertikaikan tindakan kerajaan negeri dan mempersoalkan adakah Bukit Cina selepas ini akan menjadi sasaran kerajaan negeri untuk ditukarkan namanya.
“Bukit St. Paul tukar nama Bukit Melaka? Adakah nama Bukit Cina akan menjadi sasaran kemudian?”
“BN menang besar PRN Melaka, tiada benda lain yang lebih penting untuk dibuat daripada tukar nama?,” kata hantaran itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.