Bukti Melaka United ‘boleh main bola’

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United menepis ramalan awal peminat bola sepak tanah air yang menjangkakan kelab itu bakal menjadi ‘lauk’ kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sebaliknya, skuad Hang Tuah membuktikan mereka berjaya memberi saingan sengit untuk mengikat keputusan 1-1 dalam aksi di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Pemangku Ketua Jurulatih Melaka United Mohd Asri Ninggal menghamburkan kata-kata pujian kepada anak buahnya yang mempamerkan disiplin cukup tinggi sepanjang 90 minit permainan.

Katanya, ‘kerja rumah’ yang diberikan kepada pemain berjaya diterjemahkan dengan baik untuk berpuas hati mengutip satu mata berharga selepas tewas kepada Sarawak United minggu lalu.

“Kredit perlu diberi kepada pemain kerana kita tahu JDT dari segi penguasaan bola memang bagus.

“Kalau kita beri mereka ruang, mereka akan mudah menghukum kita, jadi kita telah berjaya melakukan ‘homework’ itu dengan sorakan padu ribuan penyokong walaupun penyokong JDT lebih ramai daripada kita.

“Pemain mahu buktikan yang mereka boleh bermain bola dan itu yang paling penting dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi itu, Melaka terlebih dahulu dibolosi pada minit ke-27 hasil jaringan Leandro Velazquez sebelum Justin Baas kembali mengikat kedudukan pada minit ke-39.

Mengenai status kecederaan dua tonggak import Ifedayo Olusegun dan Emmanuel Otti, Mohd Asri memaklumkan kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan hamstring dan mungkin terlepas beraksi pada perlawanan berikutnya menentang Selangor FC.

Sementara itu, pengendali JDT Benjamin Mora mengakui keputusan seri itu bukan sesuatu yang diharapkan.

“Kami kurang selesa kerana hanya membawa pulang satu mata, tetapi apapun satu mata adalah lebih baik daripada tiada apa-apa,” katanya.

Ditanya sama ada dakwaan mengaitkan Ifedayo sebagai pemain JDT yang dipinjamkan ke Melaka United menjadi pelemah semangat kepada pasukan, Mora menafikan perkara itu.

“Saya tidak tahu tentang khabar angin itu. Saya tidak mengenali Ifedayo,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1419
Kongsi :
Previous post JDT gagal jinakkan Melaka United
Next post Gempa bumi sederhana landa Laut Maluku Utara
Ubah saiz-+=