noor hisham abdullah

Buli di tempat kerja tingkat risiko kesihatan, lemahkan prestasi

KUALA NERUS, 24 Julai- Kes buli di tempat kerja menyumbang kepada pelbagai masalah, termasuk peningkatan risiko kesihatan dan melemahkan prestasi kerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya buli di tempat kerja berlaku dalam pelbagai bentuk seperti hasil kerja dicuri atau disabotaj, dimalukan atau dipulaukan rakan sepejabat.

“Semua pihak perlu lebih memahami dan menghayati bahawa perbuatan buli bukan sahaja boleh berlaku terhadap pelajar sekolah dan universiti, malah orang dewasa dan berkerjaya pun tidak terkecuali menjadi mangsa.

“Buli di tempat kerja juga mungkin melibatkan ugutan, gosip, jenaka yang menyinggung perasaan dan memperkecilkan (seseorang individu),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Seminar Psikologi Kesihatan (PSYCHE 1.0) : Hentikan Buli! Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022, yang dibacakan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata walaupun bukan secara fizikal, gejala buli yang dilakukan melalui pertuturan dan gangguan emosi boleh mendatangkan kecederaan kepada emosi seseorang.

“Apa yang mengejutkan, Malaysia berada di tangga keenam tertinggi di dunia dan kedua di Asia dalam masalah buli terutamanya dalam buli siber.

“Mungkin juga ramai pembuli tidak tahu bahawa sebarang kandungan berniat jahat di Internet dengan tujuan mengganggu, memprovokasi, mengancam atau menyalah guna adalah suatu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sementara itu menurut Dr Kasemeni Seminar PSYCHE 1.0 selama dua hari bermula hari ini, merupakan anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) dengan kerjasama Persatuan Psikologi Pantai Timur (PSITIM).

Beliau berkata sebanyak 200 penyertaan dibuka melibatkan pelbagai latar belakang yang mengambil berat berkenaan jenayah buli yang berlaku di mana sahaja.

Katanya antara matlamat seminar itu adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menghentikan budaya buli yang ada dalam masyarakat sekarang sama ada buli di sekolah, di tempat kerja atau di jalan raya.

“Ia juga bertujuan untuk memberi kesedaran tentang peri pentingnya mendapatkan perkhidmatan secara profesional apabila berhadapan dengan isu kesihatan mental yang disebabkan oleh kesan buli,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

92
294329211_776317553787181_6890560009637555532_n Previous post 33 unit pondok Tahfiz Al-Imaniyah musnah terbakar
bfe9fca7-ff7e-4ea5-b56a-2c059e5c8129 Next post Rungutan isteri reda, Mohd Khairul bawa pulang hadiah RM30,000