Cabutan bertuah rusa, kambing menanti pengunjung Karnival D’Bendang Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SUNGAI RAMBAI 1 Disember – Penganjuran Karnival D’Bendang Melaka bermula malam ini bukan sahaja diatur agar meriah, malah dianggap unik apabila menawarkan dua ekor rusa dan seekor kambing sebagai hadiah cabutan bertuah.

Penghulu Sungai Rambai Jazlee Pit berkata, selain haiwan berkenaan pengunjung hadir memeriahkan dan memberikan sokongan penganjuran itu berpeluang membawa pulang pelbagai lagi hadiah cabutan bertuah lain seperti motosikal dan televisyen pintar.

“D’Bendang Berselawat menjadi acara pembukaan bagi Karnival D’Bendang Melaka malam ini, masjlis ilmu ini dimeriahkan dengan penampilan Ustaz Syamsul Debat dan pendakwah terkenal Ustaz Harryanto Rizal.

“Selain itu akan ada juga persembahan qasidah dan pada malam ini hadiah bertuah menawarkan seekor rusa dan kami jangka ini akan jadi perhatian ramai,” katanya ketika ditemui di tapak penganjuran Karnival D’Bendang Melaka di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Photo1701420514
DUA ekor rusa bakal dibawa pulang oleh pengunjung bertuah pada program Karnival D’Bendang Melaka di Sungai Rambai, Jasin. Foto Jazlee Pit

Jazlee berkata, pada esok program akan dimulakan seawal pagi dengan pelbagai acara menarik antaranya gusti lengan, pertandingan musang berjanggut dan pertandingan memasak lelaki iaitu menyediakan nasi goreng kampung.

“Pada sebelah malam pula akan diadakan pertandingan tanglong dan Konsert Gegau D’Bendang membariskan beberapa artis terkenal tanah air. Malah pada malam itu juga pengunjung bertuah yang hadir bakal membawa pulang seekor kambing.

“Seekor lagi rusa bakal menanti pengunjung bertuah pada hari terakhir begitu juga beberapa hadiah utama yang lain. Jadi itu saya mengalu-alukan semua terutamanya warga Sungai Rambai untuk datang memeriahkan Karnival D’Bendang Melaka ini,” katanya.

Menurutnya, dengan jangkaan pengunjung yang melebihi 5,000 orang pastinya akan berlaku sedikit kesesakan dan orang ramai dinasihatkan untuk mengikut laluan yang ditetapkan iaitu melalui Jalan Pili Air Teluk Rimba dan menuju ke Jalan Haji Abu.

Sementara itu bagi pengunjung warga emas dan orang kurang upaya (OKU) boleh menghubungi urusetia untuk mendapatkan kemudahan van transit disediakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10491
Kongsi :
Previous post PM membayangkan rombakan kabinet bulan ini
Next post TMM2024: Naik taraf tandas awam ke tiga bintang
Ubah saiz-+=