Cacar Monyet: KKM perketat saringan kesihatan di semua pintu masuk negara

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperketatkan saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa di tengah-tengah kebimbangan global berikutan peningkatan kes cacar monyet.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pengawasan dan saringan yang ketat akan dilaksanakan di pintu masuk antarabangsa terhadap pengembara dari negara-negara endemik serta negara yang terdapat penularan wabak penyakit berjangkit itu.

Katanya, KKM bersiap siaga daripada segi peralatan dan ujian di Makmal Kesihatan Awam Malaysia Kebangsaan (MKAK) sekiranya terdapat penularan wabak itu di negara ini.

“Setakat ini tiada kes cacar monyet dilaporkan di Malaysia namun di Singapura telah  dikesan.

“Jadi, sekiranya ada pengembara atau pelawat yang datang dari negara endemik, atau negara yang mempunyai kes seperti negara jiran, kita akan lebih ketatkan lagi pengawasan dan saringan kesihatan bagi membendung penularan di pintu masuk negara di semua negeri terutama di Johor serta Pulau Pinang.

“Semua kakitangan telah diberi taklimat, pemerkasaan di peringkat kesihatan awam. Makmal MKAK kita juga telah bersedia dan KKM memang mempunyai kemampuan untuk mengesan kehadiran simptom cacar monyet itu di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Persidangan Kajian Kematian Perioperatif (POMR) di Hotel Ames, di sini, hari ini.

Seramai 350 peserta terdiri daripada pakar-pakar bedah dalam dan luar negara hadir ke persidangan yang dijalankan secara maya dan fizikal yang dijalankan selama tiga hari itu.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, KKM turut mengarahkan Jabatan Veterinar untuk membuat persediaan dan pemerhatian terhadap penyakit itu sekiranya merebak melalui haiwan.

“Kita di KKM memang mempunyai kemampuan untuk mengesan cacar monyet, pihak veterinar juga akan membantu dalam membuat pemerhatian kerana kita tidak tahu daripada mana ia datang, namun kita kesan ia merebak melalui cecair badan.

“Bagaimanapun, pihak KKM telah bersedia, namun orang ramai juga perlu berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam menjaga kesihatan diri sepanjang tempoh peralihan ke endamik ini kerana cacar monyet penyakit global dan transmisinya cepat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

636
Kongsi :
Previous post Sidang Khas ASEAN-Jepun bincang isu serantau, antarabangsa dengan mendalam
Next post Rumah Terbuka Melaka, 28 DUN bakal jadi acara tahunan – KM
Ubah saiz-+=