Sorting by

×

Rumah Terbuka Melaka, 28 DUN bakal jadi acara tahunan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Penganjuran Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Melaka dan majlis rumah terbuka di setiap 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal menjadi satu acara tahunan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, ia berikutan sambutan yang diterima daripada orang ramai cukup menggalakkan sejak penganjuran Rumah Terbuka diadakan bermula 3 Mei lalu.

Katanya lagi, dengan konsep rumah terbuka unik yang ditampilkan dis etiap kawasan juga menjadi antara faktor penyumbang kemeriahan sambutan Aidilfitri di Melaka, tahun ini.

“Insya-Allah jika tiada pandemik atau tiada hal yang boleh menjejaskan penganjuran kita akan adakan majlis seperti ini setiap tahun.

“Terima kasih diucapkan kepada semua wakil rakyat yang mana saya tertarik dengan kaedah sambutan yang dilakukan mereka. Cukup unik, ada yang menampilkan beca, kereta kuda, alunan selawat dan lain-lain yang menjadi daya penarik pada tahun ini.

“Saya percaya untuk tahun-tahun mendatang, semua wakil rakyat akan cuba membuat lebih banyak kelainan untuk menarik kehadiran orang ramai khususnya masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari; Speaker DUN Datuk Wira Ibrahim Durum; EXCO Kanan Pelaburan dan Perindustrian Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; barisan EXCO Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua-ketua jabatan.

Mengulas mengenai sambutan rumah terbuka itu, Sulaiman berkata, setakat jam 3 petang, tidak kurang 25,000 pengunjung telah hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Katanya, rata-rata orang ramai yang ditemui mengakui seronok dengan kemeriahan itu selepas dua tahun terkurung dalam pandemik COVID-19.

“Apapun, terima kasih diucapkan kepada urusetia dan mereka yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

“Alhamdulillah saya sangat berpuas hati dan saya percaya pengunjung juga seronok dengan acara yang kita anjurkan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

859
Kongsi :
Previous post Cacar Monyet: KKM perketat saringan kesihatan di semua pintu masuk negara
Next post HFMD: 105 Tabika, 75 Taska kendalian kemas ditutup
Ubah saiz-+=