Sorting by

×

Cadang bangunkan pusat hemodialisis rakyat Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 15 Mac – Susulan peningkatan jumlah pesakit buah pinggang saban tahun, Kerajaan Negeri bercadang untuk membangunkan sebuah pusat hemodialisis sendiri untuk rakyat Melaka.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, setakat ini Melaka hanya mempunyai empat pusat hemodialisis percuma di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu di Hospital Melaka, Hospital Alor Gajah, Hospital Jasin dan Klinik Kesihatan Cheng.

Selain itu, katanya, terdapat 32 lagi pusat hemodialisis swasta yang menyediakan 449 mesin hemodialisis yang mampu menampung 1,513 pesakit buah pinggang.

Meskipun fasiliti itu mencukupi ketika ini, namun Dr. Muhamad Akmal melihat adanya keperluan untuk Kerajaan Negeri membangunkan pusat hemodialisis sendiri memandangkan masih ada dalam kalangan rakyat tidak mampu untuk ke pusat perubatan swasta.

“Isunya, ada ramai yang tidak layak mendapatkan bantuan daripada agensi seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan lain-lain, itu menyebabkan mereka tiada pilihan, melainkan terpaksa ke fasiliti kesihatan KKM.

“Namun, empat fasiliti hemodialisis KKM yang ada ini tidak cukup untuk menampung pesakit yang kian meningkat dan mereka terpaksa menunggu lama. Sebab itulah kita mencadangkan pusat hemodialisis milik Kerajaan Negeri dibangunkan bagi membantu pesakit buah pinggang.

“Jadi, kita akan mengadakan perbincangan dengan agensi dan jabatan di negeri ini supaya dapat merealisasikan penubuhan pusat hemodialisis. Kalau boleh kita mahu perkhidmatan itu disediakan secara percuma kepada rakyat Melaka yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr. Muhamad Akmal memaklumkan, pihaknya menyasarkan sebanyak 500 alat defibrilator luaran automatik (AED) bagi membantu serangan jantung dipasang di negeri ini menjelang 2025.

Katanya, satu kertas kerja atau polisi bagi mewajibkan bangunan atau pemilik premis memasang alat tersebut sudah disiapkan Jawatankuasa MyHeart Negeri Melaka dan bakal dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1593
Kongsi :
Previous post Dua sekolah daif dibina baharu
Next post Tanah pertanian bukan tanam sayur, tapi jadi rumah
Ubah saiz-+=