Cadang calon muda, anak tempatan bertanding di DUN Tanjung Bidara

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 12 Okt – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara perlu diberikan kepada calon muda dan anak tempatan, kata Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

Beliau yang juga penyandang DUN berkenaan memilih untuk tidak mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti bagi memberikan laluan kepada calon ‘lebih segar’.

Katanya, terdapat ramai calon berusia di bawah 55 tahun yang cukup berwibawa untuk menggalas tugas selaku wakil rakyat dan memajukan kawasan tersebut pada masa akan datang.

“Bagi saya, untuk menggalas jawatan politik ini kita memerlukan tenaga muda yang boleh melontarkan buah fikiran bagi pembangunan DUN dan negeri.

“Jadi, saya berharap sangat calon yang akan dipilih nanti dapat diterima masyarakat dan kalau boleh biarlah penduduk tempatan, sebab hanya orang tempatan sahaja faham suasana dan kehendak masyarakat di kawasan itu.

“Apapun, saya meminta rakan-rakan yang lama agar memberi peluang kepada jentera baharu untuk memacu kemajuan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kit keperluan asas oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MITC, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Md Rawi menafikan dakwaan kononnya beliau tidak mempertahankan kerusi DUN berkenaan bagi memberi laluan kepada ‘individu tertentu’ untuk bertanding.

Sebaliknya, beliau menjelaskan dirinya telah berikrar untuk berkhidmat selama dua penggal sahaja dan ia turut mendapat sokongan ahli keluarganya.

“Usia saya sudah 68 tahun dan saya juga telah maklumkan kepada kepimpinan parti bahawa biarlah penggal ini yang terakhir bagi memberi laluan kepada orang muda berkebolehan.

“Selepas ini, saya akan terus berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi MAIM selagi diperlukan dan selagi saya sihat,” ujarnya.

Untuk rekod, Md Rawi yang juga pesara guru, mula dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi menggantikan bekas ADUN Datuk Kapten (B) Abdul Karim Sulaiman yang mewakili kerusi itu selama dua penggal.

Pada PRU-13 beliau menang dengan majoriti 4,240 undi manakala pada PRU-15 beliau meraih 2,864 undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

400
Kongsi :
Previous post Polis Melaka belum terima laporan rakaman perbualan yang dikaitkan Idris
Next post Cadang wujud Melaka Agro Market di 28 JAPERUN – Ghazale
Ubah saiz-+=