Cadang wujud Melaka Agro Market di 28 JAPERUN – Ghazale

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 12 Okt – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencadangkan Agro Market di negeri ini dijenamakan kepada Melaka Agro Market (MAM) dan diwujudkan di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Wira Ghazale Muhamad berkata, inisiatif itu sekali gus memberi peluang kepada peniaga khususnya petani kecil di negeri ini untuk memasarkan hasil tani mereka.

“Kita akan perkenalkan beberapa program, satu daripadanya MAM yang sebelum ini dibuka di enam lokasi di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN).

“Kita minta kerajaan negeri supaya guna nama ‘Melaka Agro Market’ yang sebelum ini dikenali sebagai Agro Market dan mendapat sambutan amat baik.

“Kita cadang setiap DUN ada satu MAM untuk membantu petani dan peniaga kecil di Melaka dengan menyediakan ruang niaga khusus,” katanya ketika dihubungi MHI.

Ujarnya, peniaga tidak perlu mendapatkan lesen dan hanya perlu memohon di setiap cawangan FAMA di daerah masing-masing untuk berniaga di Kompleks JAPERUN tersebut.

“Kita akan gunakan kawasan yang ada di JAPERUN, tiada lesen pun boleh niaga sebab MAM ini bernaung di bawah FAMA.

“Kita sasarkan 20 hingga 30 peniaga di setiap JAPERUN, tapi selepas mesti lagi ramai sebab Melaka sudah memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara,” katanya lagi.

Semalam Ghazale bersama Pengarah FAMA Negeri Melaka yang baharu, Hairudin Yunos mengadakan perjumpaan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di Seri Negeri.

Perjumpaan itu bagi membincangkan isu-isu semasa mengenai sektor pertanian di Negeri Melaka selain tanaman jambu lohan yang popular di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

745
Kongsi :
Previous post Cadang calon muda, anak tempatan bertanding di DUN Tanjung Bidara
Next post MAIM sumbang 3,000 kit keperluan asas untuk pesakit di PKRC MITC
Ubah saiz-+=