Cadang JPJ Melaka tambah baik perkhidmatan kaunter – Ka Siong

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BUKIT KATIL 2 April – Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong mencadangkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka agar menambah baik mutu perkhidmatan kaunter yang disediakan agensi itu bagi kemudahan orang awam.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini Ka Siong berkata, ia berdasarkan maklum balas diterimanya daripada orang awam selepas melakukan lawatan mengejut di JPJ Melaka, di sini hari ini.

Katanya, antara cadangan diterimanya berkaitan penambahbaikan beberapa perkhidmatan seperti unit kenderaan bergerak JPJ perlu ditambah bagi keselesaan pelanggannya.

KA SIONG bertanya kepada orang awam yang berurusan bagi mengetahui mutu perkhidmatan JPJ Melaka.

“Selain itu, pelbagai cadangan dan maklumbalas lain yang saya perolehi daripada pelanggan JPJ iaitu perlu menambah kaunter mesin kiosk yang disediakan dan penggantian perabot terutamanya kerusi yang telah rosak serta khemah sementara untuk kaunter JPJ di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka.

“Seorang pemegang taruh yang mewakili golongan korporat telah mencadangkan kepada saya agar dapat mewujudkan semula kaunter khas untuk urusan syarikat yang mempunyai transaksi yang banyak kerana pada waktu ini wakil syarikat hanya dibenarkan memperbarui tiga Lesen Kenderaan Motor (LKM) sahaja pada satu-satu masa.

“Malah, saya juga akan berbincang dengan Ketua Pengarah JPJ untuk menambah kakitangan kerana sebahagian daripada pegawai JPJ telah dipinjamkan bertugas di Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan agensi itu,” katanya dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut Ka Siong berkata, lawatan mengejut itu bagi meninjau keadaan di lapangan terhadap urusan memperbaharui LKM & Lesen memandu (LM) selepas pewartaan baharu yang berkuat kuasa mulai semalam.

“Saya berpuas hati apabila mendapati bekalan disk atau pelekat LKM mencukupi dan urusan pembaharuan kesemua jenis lesen ini berjalan dengan lancar di negeri ini.

“Walaupun hanya singgah selama kira-kira 35 minit, namun saya menggunakan kesempatan yang ada untuk berinteraksi dengan orang ramai dan juga pegawai-pegawai JPJ serta kakitangan di kaunter yang ditugaskan.

“Saya melihat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di sini dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1641
Kongsi :
Previous post 20 rumah hangus, 100 penduduk Kampung Simunul hilang tempat tinggal
Next post KPDNHEP pantau peniaga ‘cekik darah’ di bazar Ramadan
Ubah saiz-+=