CADANG SCOOT TEROKA LALUAN BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 23 Oktober – Syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines (Scoot) dicadangkan supaya melaksanakan kajian bagi meneroka potensi laluan baharu dari Singapura ke negeri lain di Malaysia pada masa akan datang.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengutarakan cadangan tersebut kerana Singapura sudah terkenal sebagai pusat transit dalam kalangan pelabur antarabangsa.

Menjadikan Bintulu, Sarawak sebagai contoh, King Sing berharap Scoot boleh membuka laluan penerbangan ke pusat perindustrian minyak dan gas berkenaan dengan cadangan kekerapan tiga kali seminggu.

“Kita harap Scoot dapat melaksanakan kajian untuk membuka laluan baharu membabitkan Singapura ke Sarawak pada masa hadapan. Hal ini kerana ramai pelabur dari Singapura dan dunia menjadikan negara itu sebagai pusat transit.

“Justeru, jadual penerbangan tiga kali seminggu ke Bintulu adalah satu kemungkinan yang bagus, begitu juga destinasi lain di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Pesawat Scoot ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Terdahulu, penerbangan sulung Scoot mendarat di LTAM kira-kira 2.55 petang tadi dengan membawa 112 penumpang dari Lapangan Terbang Changi, Singapura ke LTAM sebelum belepas bersama 107 penumpang dari LTAM ke Changi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

164
Kongsi :
Previous post MURID DARI MELAKA PECAH REKOD KEBANGSAAN BALINGAN KAPAL TERBANG KERTAS
Next post KEPENGERUSIAN ASEAN 2025: MALAYSIA BERHASRAT PERKUKUH HUBUNGAN SERANTAU
Ubah saiz-+=