Calon BN hasrat bangunkan aplikasi khas bagi DUN Parit Ya’ani

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

BATU PAHAT, 10 Mac – Bagi mendapatkan maklumat permasalahan orang ramai, seorang calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Ya’ani bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berhasrat untuk membangunkan aplikasi khas sebagai rujukan dan saluran untuk menyalurkan setiap masalah.

Datuk Mohamad Najib Samuri mewakili Barisan Nasional (BN) berkata dengan slogan ‘Cakna Parit Ya’ani’, aplikasi yang bakal dibangun itu merangkumi tiga teras utama iaitu pendidikan, ekonomi dan kebajikan.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara utama yang akan diberi perhatian sekiranya dipilih untuk menjadi wakil rakyat di Parit Ya’ani adalah meningkatkan capaian Internet agar aplikasi yang dibangun itu dapat digunakan oleh semua pihak.

“Pembelajaran melalui kaedah PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) juga akan mampu berjalan dengan lancar. Bagi yang menceburi bidang industri kecil dan sederhana (IKS), aplikasi ini juga akan merangkumi permohonan tertentu dan sebagainya.

“Begitu juga dengan soal kebajikan kita akan bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk tujuan bantuan, rujukan yang bakal memudahkan semua pihak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sri Gading itu berjanji akan turut memastikan kebajikan rumah ibadat mencukupi, di samping menyediakan sebuah ambulans khas secara percuma untuk keperluan penduduk ke hospital atau klinik berhampiran.

Sementara itu, bagi calon Pakatan Harapan (PH), Aminolhuda Hassan yang merupakan penyandang di kerusi DUN Parit Ya’ani, beliau akan lebih memfokuskan dua masalah utama di kawasan itu iaitu perumahan dan banjir kilat.

Menurutnya, dengan membina Rumah Mampu Biaya, beliau berharap setiap golongan masyarakat terutamanya anak muda akan mampu mempunyai rumah mereka sendiri yang akan dibina secara berkelompok.

“Masalah banjir kilat yang sering berlaku juga akan kita cuba atasi dengan memperbaiki saliran perparitan dan mendalamkan sungai yang ada. Kita juga akan memastikan penyelenggaraan saliran berkenaan akan dilaksanakan secara berjadual,” katanya.

DUN tersebut menyaksikan pertembungan empat penjuru yang turut melibatkan Ahmad Nawfal Mahfodz daripada Perikatan Nasional (PN) dan Mohd Ridhauddin Mohd Tahir mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

726
Kongsi :
Previous post KKMM bina lebih banyak pencawang telefon selular di Johor – Annuar
Next post Perbezaan besar harga runcit petrol berbanding negara jiran buka ruang aktiviti penyeludupan – Tengku Zafrul
Ubah saiz-+=