Perbezaan besar harga runcit petrol berbanding negara jiran buka ruang aktiviti penyeludupan – Tengku Zafrul

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Harga runcit petrol RON95 di Malaysia pada kadar RM2.05 seliter adalah sangat rendah berbanding harga runcit petrol di negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara jiran, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata ketika ini, harga runcit petrol di Arab Saudi adalah RM2.59 seliter dan di Indonesia mencecah RM3.74 seliter, manakala negara jiran Thailand (RM5.63 seliter) dan Singapura (RM9.16 seliter).

“Perbezaan besar antara harga runcit petrol dalam negara berbanding negara jiran akan membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan petrol,” katanya menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, jumlah subsidi petrol oleh kerajaan dijangka bertambah kepada RM28 bilion pada tahun 2022 berbanding RM11 bilion pada 2021 sekiranya harga minyak mentah dunia kekal melebihi US$100 setong.

Beliau berkata kenaikan kos subsidi produk petroleum akan memberi tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan kerana pertambahan kos subsidi sepatutnya boleh digunakan untuk manfaat pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kenaikan kos subsidi perlu diimbangi dengan pertambahan hasil dan penjimatan perbelanjaan, maka wujud keperluan kerajaan menyusun semula subsidi supaya ia lebih bersasar kepada kelompok yang layak dan memerlukan,” kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Salim Sharif (BN-Jempol), menteri kewangan berkata kerajaan juga sedang dalam proses mengkaji bagaimana pendekatan subsidi bersasar dapat diperluaskan kepada barangan bersubsidi yang lain.

Katanya ia bertujuan memastikan agar sumber kerajaan yang terhad ditumpukan kepada membantu golongan yang memerlukan dan tidak berlakunya ketirisan subsidi kepada pengguna yang berkemampuan.

“Secara keseluruhan, peruntukan bantuan dan subsidi dalam Belanjawan 2022 adalah RM31 bilion berbanding peruntukan RM28 bilion dalam Belanjawan 2021.

“Walaupun peruntukan lebih besar disediakan, dijangka subsidi yang akan dibelanjakan dalam tahun 2022 akan bertambah ekoran kenaikan harga produk minyak,” jelas Tengku Zafrul.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

755
Kongsi :
Previous post Calon BN hasrat bangunkan aplikasi khas bagi DUN Parit Ya’ani
Next post PRN Johor medan pengalaman pertama Undi18 keluar mengundi
Ubah saiz-+=