Car free zone: Sistem parkir mekanikal diteliti

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KOTA LAKSAMANA 2 September – Sistem parkir mekanikal bertingkat antara alternatif boleh dilaksanakan bagi meningkatkan jumlah lot petak letak kenderaan sekitar Banda Hilir sepanjang tempoh perlaksanaan zon bebas kenderaan (car free zone).

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, setakat ini pihaknya sedang meneliti kesesuaian sistem itu yang menawarkan sistem parkir kenderaan kondusif buat pelancong.

Shadan berkata, setakat ini beberapa syarikat sudah menyatakan kesudian untuk menawarkan perkhidmatan parkir berkenaan di Banda Hilir.

“Kajian membabitkan pelaksanaan sistem itu juga sedang dilaksanakan, seperti sekitar Kota Laksamana, Melaka Raya. Sistem parkir mekanikal ini adalah petak letak kenderaan bertingkat yang berpusing.

“MBMB sedang berusaha ke arah itu dan dalam tempoh ini ia masih di peringkat kajian dan kita akan lihat kesesuaiannya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas mengenai perlaksanaan zon bebas kenderaan di kawasan yang diwartakan di Banda Hilir, Shadan berkata setakat ini pihaknya menerima maklum balas positif dalam kalangan pengunjung dan peniaga.

Beliau berkata, setakat ini beberapa kawasan parkir disediakan buat pengunjung beroperasi sepenuh masa antaranya sekitar Bangunan Tabung Haji, Hotel Hatten, Dataran Pahlawan dan Mahkota Parade.

“Selain itu, kita galakkan pengunjung untuk meletakkan kenderaan mereka di Jeti Taman Rempah dan kita juga menyediakan perkhidmatan teksi air di kawasan itu untuk memudahkan pergerakan mereka.

“Perkhidmatan teksi air ini juga telah dipertingkatkan pada setiap hari dan ia juga telah dipergiatkan kekerapannya pada hujung minggu,” katanya.

Dua minggu lalu, Kerajaan Negeri telah menetapkan beberapa jalan pelancongan utama di sekitar Banda Hilir ditutup dalam tempoh percubaan selama enam jam pada hujung minggu bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam.

Antara jalan terlibat ialah Jalan Istana; Jalan Mahkamah; Jalan Gereja-Lorong Gereja-Jalan Laksamana-sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob-Jalan Merdeka-Jalan Parameswara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4743
Kongsi :
Previous post Bergabung untuk tingkatkan prestasi
Next post TMM2024: Melaka gelanggang kejohanan seni mempertahankan diri
Ubah saiz-+=