Bergabung untuk tingkatkan prestasi

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KOTA LAKSAMANA 2 September – Persatuan sukan dan seni mempertahankan diri di Negeri Melaka disarankan supaya bersifat lebih terbuka dan mengenepikan ketidaksefahaman, seterusnya bergabung dengan persatuan induk masing-masing.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata, matlamat utama penggabungan itu adalah untuk menggilap bakat dan memberikan ruang kepada atlet yang berpotensi.

“Kita tidak mahu ada ‘serpihan’ yang tertinggal, jadi semua persatuan perlu wujudkan suasana yang lebih baik dan bergabung di bawah persatuan induk masing-masing. Apabila ada gabungan ini ia akan memudahkan kita untuk melaksanakan identifikasi kebolehan atlet menerusi persatuan.

“Saya tujukan kepada semua persatuan membabitkan sukan dan seni mempertahankan diri di negeri ini. Gabungan ini akan memberi kekuatan kepada kita di Melaka yang mempunyai sebuah persatuan induk berfungsi di bawah satu payung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, merasmikan ‘1st Ever Grand Karate Group Training Malaysia 5 Hours Non-Stop Open 2023’ di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pay Teck, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri,  Zahari Abd Kalil dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Menurutnya, sekiranya satu kesepakatan diwujudkan ia akan memudahkan libat cara antara persatuan dan Kerajaan Negeri bagi mengetengahkan bakat atlet yang berpotensi.

Malah ujarnya, ia sekali gus memudahakan semua pihak untuk menyenaraikan atlet berpotensi untuk mewakili Negeri Melaka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

“Apabila ada gabungan kita boleh melihat mereka yang berkebolehan. Kita mampu menghantar satu pasukan yang hebat untuk memberi cabaran pada SUKMA.

“Saya syorkan kepada yang masih belum bergabung dengan persatuan induk masing-masing cari persefahaman, ketepikan rasa tidak puas hati, kita perlu bekerja keras untuk wujudkan suasana lebih baik agar ahli berkebolehan ini ambil bahagian dalam setiap acara yang dipertandingkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

933
Kongsi :
Previous post Jenayah siber: Sentiasa skeptikal terhadap sebarang maklumat – Fahmi
Next post Car free zone: Sistem parkir mekanikal diteliti
Ubah saiz-+=