Cari penyelesaian ‘pujuk’ lepasan SPM ke menara gading

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

DURIAN TUNGGAL 14 September – Kerajaan Negeri dan Jabatan Pendidikan komited untuk bekerjasama bagi mencari jalan agar lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke menara gading.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pendedahan mengenai peluang dan manfaat melanjutkan pengajian ke universiti harus dilakukan hingga ke peringkat akar umbi.

“Saya menegaskan kepada guru sekolah rendah untuk memberi pendedahan kepada murid mengenai pentingnya melanjutkan pengajian, jika mahu bekerja sekalipun biarlah selepas tamat universiti.

“Kena lihat untuk tempoh 10-15 tahun akan datang, tidak boleh sesekali mengenepikan isu ini kerana menuntut ilmu itu mestilah sepanjang hayat.

“Guru perlu kreatif, mereka yang akan menjadi pemangkin kepada kemenjadian anak-anak murid,” katanya selepas merasmikan Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Daerah Melaka Tengah di Auditorium Kolej Yayasan Saad, di sini, semalam.

Terdahulu, pada program itu 280 orang guru dan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka Tengah menerima sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) disampaikan Rais.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, hasrat penubuhan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara langkah progersif Kerajaan Negeri dalam memberi pendedahan kepada pelajar mengenai faedah TVET.

Jelasnya, TVET mampu melahirkan graduan berkualiti tinggi yang memiliki kemahiran relevan dengan keperluan dinamik industri.

“Kali ini guru kena pastikan hala tuju anak murid mereka, bermula tingkatan satu atau dua, jika mereka sudah nampak perlu diberi galakan ke arah itu.

“Melaka mempunyai 22 Institut Pengajian Tinggi yang menawarkan bidang ini kepada lepasan SPM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2334
Kongsi :
Previous post Orang Melaka cemas lihat kepulan asap hitam
Next post Kak Ina komited jaga imej Pantai Puteri
Ubah saiz-+=