CMI, MICTH serta beberapa agensi sumbang kit makanan bantu rakyat Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

SERI BENDAHARA 23 Julai – Perbadanan Ketua Menteri (CMI) bersama Melaka ICT Holding Sdn. Bhd. (MICTH) antara jabatan dan agensi kerajaan negeri tampil menyumbang bantuan kit makanan bagi membantu rakyat terkesan di negeri ini.

Agensi lain termasuk Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Kumpulan Melaka Berhad (KMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Keseluruhannya 1,100 kit makanan telah disumbangkan kepada kerajaan negeri selaku penyelaras bagi mengagihkan bantuan itu terus kepada rakyat memerlukan di seluruh pelosok negeri ini.

Majlis simbolik penyerahan sumbangan itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di kediaman rasminya, di Seri Bendahara, hari ini.

SHADAN (kiri) menyerahkan simbolik kit makanan kepada Sulaiman (dua dari kiri) sambil diperhatikan Md Rawi dan Fauzi.

Ketua Pegawai Eksekutif CMI, Datuk Mohd Fauzi Yaakub ketika ditemui selepas majlis penyerahan itu memaklumkan CMI dan MICTH menyumbang 500 kotak makanan menerusi program kali ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah MICTH berkata, walaupun sumbangan itu tidak sebesar mana, namun ia sedikit sebanyak diharap dapat meringankan beban ditanggung rakyat sejak pandemik COVID-19 melanda.

“Saya percaya ini bukanlah usaha terakhir dilakukan CMI bersama MICTH, Insya-Allah sekiranya ada keperluan, kami akan terus menyumbang ke arah tersebut.

“Pada masa sama, saya turut mengalu-alukan anak-anak syarikat sekiranya berkemampuan agar dapat bersama-sama kerajaan negeri dalam usaha membantu permasalahan yang dihadapi rakyat ketika ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman berkata, pengagihan kit makanan itu antara inisiatif pihaknya untuk bersama-sama kerajaan negeri membantu rakyat.

“Alhamdulillah, hari ini kita dapat menyalurkan 300 kit makanan bernilai RM45 setiap satu untuk membantu kerajaan negeri menyelaraskan bantuan itu kepada mereka yang memerlukan.

“Selain bantuan di peringkat negeri, MPHTJ melalui ahli-ahli majlis juga turut menyalurkan bantuan terus kepada rakyat terutama untuk mereka yang terkesan di kawasan Hang Tuah Jaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

857
Kongsi :
Previous post Maut tak lepas memotong di garisan berkembar
Next post Kerajaan mulakan perancangan pisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya- Takiyuddin
Ubah saiz-+=