Maut tak lepas memotong di garisan berkembar

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

DURIAN TUNGGAL 23 Julai – Seorang penunggang motosikal maut dan seorang parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Bukit Balai, Durian Tunggal, malam semalam.

Dalam kejadian jam 7.15 malam itu mangsa, Zahari Ismail, 44, maut di tempat kejadian manakala Muhammad Hafiz Mohd Hishamuddin,22, patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku membabitkan empat kenderaan di lokasi berselekoh dan berbukit.

Jelasnya, siasatan mendapati Zahari dan Muhammad Hafiz, masing-masing menunggang motosikal Kawasaki dan Yamaha dari arah Gangsa menghala ke Durian Tunggal.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu. Gambar fail.

Katanya, tiba di lokasi kejadian kedua-dua mangsa dipercayai memotong kereta Kia Cerato sebelum berlanggar dengan kereta Proton Wira dari arah bertentangan.

“Mangsa, Zahari dari Bukit Cina disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke bahagian forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

“Manakala, Muhammad Hafiz yang cedera parah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.

“Bagaimanapun, pemandu kedua-dua kereta terbabit tidak mengalami kecederaan dan telah diminta hadir ke Balai Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Beliau berkata, semua kenderaan terlibat ditahan di Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk dihantar menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku atas kecuaian penunggang motosikal yang memotong secara berbahaya di jalan dua lorong dan berkembar.

“Namun, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

760
Kongsi :
Previous post Harga siling vaksin Sinovac di pasaran swasta ditetapkan mulai Ogos
Next post CMI, MICTH serta beberapa agensi sumbang kit makanan bantu rakyat Melaka
Ubah saiz-+=