Harga siling vaksin Sinovac di pasaran swasta ditetapkan mulai Ogos

0
704
GAMBAR hiasan.

PUTRAJAYA 23 Julai – Harga siling dan garis panduan penjualan vaksin COVID-19 keluaran Sinovac oleh pihak swasta akan ditetapkan mulai Ogos ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan bermesyuarat minggu depan antaranya berhubung penetapan harga siling untuk pasaran swasta.

“Harga siling itu bagi memastikan vaksin tidak dijual dengan harga terlalu tinggi,” katanya dalam sidang media perkembangan PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, di sini hari ini.

Khairy dalam pada itu berkata Pharmaniaga Bhd telah selesai membekalkan vaksin COVID-19 Sinovac kepada kerajaan Persekutuan di bawah PICK.

“Bekalan sudah selesai dihantar kepada kerajaan Persekutuan dan sebab itu Sinovac akan diberi dalam kuantiti yang kurang dalam program PICK,” katanya.

Menurut Pharmaniaga, ia membekalkan sebanyak 12 juta dos vaksin COVID-19 Sinovac kepada kerajaan untuk PICK dan kelompok dos terakhir dibekalkan pada 21 Julai, iaitu empat setengah bulan lebih awal daripada jadual kontrak asal.

Kontrak pembekalan Pharmaniaga kepada kerajaan adalah membekalkan sebanyak 12 juta dos vaksin COVID-19 Sinovac secara pengisian dan pembotolan dalam tempoh tujuh bulan iaitu antara Mei dan November 2021.

Menurut Khairy, sebagaimana dipersetujui sebelum ini, bahawa kerajaan Persekutuan akan memiliki stok vaksin yang mencukupi untuk PICK terlebih dahulu, sebelum penjualan vaksin dibuka untuk sektor swasta.

Menurutnya, Pharmaniaga akan menjual vaksin Sinovac kepada pasaran swasta bermula Ogos.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.