COVID-19: 0.69 peratus kes baharu kategori 3 hingga 5
KUALA LUMPUR 3 Mac – Sebanyak 189 kes atau 0.69 peratus daripada 27,500 kes baharu COVID-19 yang dicatatkan semalam terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini memaklumkan baki 27,311 kes atau 99.31 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini kini meningkat kepada 3,496,090 kes.
“Daripada 189 kes kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan semalam, 25 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 89 kes telah menerima dua dos vaksin.
“Selain itu, 38 kes kategori tiga hingga lima telah menerima dos penggalak, 108 kes membabitkan individu berumur 60 tahun dan ke atas manakala 48 kes mempunyai komorbid,” katanya.
Beliau berkata 1,841 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam, terdiri daripada 677 kes kategori tiga hingga lima manakala 1,164 kes adalah kategori satu dan dua.
Mengenai jumlah kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 27,557 kes dilaporkan menjadikan kumulatif kes sembuh 3,169,669.
Sementara itu beliau berkata 360 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 194 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Mengenai penggunaan katil kes kritikal atau ICU COVID-19 di hospital, beliau memaklumkan sembilan negeri menunjukkan pengisian 50 peratus atau lebih iaitu di Putrajaya (67 peratus), Perlis (64 peratus), Kelantan (60 peratus), Johor (59 peratus), Kuala Lumpur (58 peratus), Sabah (55 peratus), Melaka (53 peratus), Selangor (51 peratus) dan Pulau Pinang (50 peratus).
Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhannya, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), hospital dan ICU. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.