COVID-19 : Agenda Wilayah Cakna diteruskan

0
960
SETIAUSAHA Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Budiman Mohd Zohdi.

AYER KEROH 1 Nov. – “Kita teruskan agenda Wilayah Cakna bagi memastikan rakyat terkesan wabak pandemik COVID-19 menerima bantuan,” kata Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Budiman Mohd Zohdi.

Menurutnya, pihaknya meneruskan usaha membantu kementerian menangani COVID-19 khususnya melibatkan kawasan Wilayah Persekutuan yang menunjukkan peningkatan wabak itu setiap hari.

“Kita laksanakan agenda-agenda Wilayah Cakna terutama dalam keadaan COVID-19 ini, semua sedia maklum di Wilayah Persekutuan merupakan tempat yang agak serius.

“Ia bukan sahaja serius dari segi kes COVID-19, malah memberi kesan terhadap ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi keempat Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-71 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2020 di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Terdahulu Budiman menerima pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam bersama 67 penerima yang lain.

Penganugerahan itu katanya, menjadi motivasi buatnya untuk terus bekerja dengan lebih kuat di masa akan datang demi kebaikan negara.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dan isterinya Datin Munira M Yusop.