COVID-19: Hospital Melaka semakin kritikal

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BATU BERENDAM 9 Julai – Hospital Melaka (HM) kini mencapai paras kritikal berikutan penggunaan katil mencapai tahap 91 peratus untuk merawat pesakit COVID-19.

Susulan itu, dua hospital daerah iaitu di Alor Gajah dan Jasin terpaksa dijadikan pusat rawatan pesakit COVID-19 bermula minggu ini.

Exco Kesihatan negeri, Datuk Rahmad Mariman menjelaskan, setakat ini sebanyak 400 katil daripada keseluruhan 444 katil di HM telah dipenuhi manakala sejumlah 13 pesakit terpaksa dirawat di Hospital Alor Gajah dan Jasin.

Beliau berkata, berdasarkan data diterima sebanyak tujuh pesakit COVID-19 terpaksa dirawat di Hospital Jasin dan enam lagi dirawat di Hospital Alor Gajah sejak awal minggu lalu selepas HM mencapai tahap kritikal.

“Sehingga kelmarin, kapasiti katil di HM sudah kritikal iaitu mencecah 91 peratus, menyebabkan dua buah hospital daerah berkenaan terpaksa merawat pesakit COVID-19 bermula awal minggu ini.

“Hospital Melaka kini sesak sehingga terpaksa menggunakan segenap ruang yang ada seperti bilik mesyuarat, stor, tempat parkir ambulans dan sebagainya bagi menempatkan pesakit COVID-19,” katanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau hari pertama pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam di sini, hari ini.

RAHMAD Mariman. Foto: MR. Azli

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri itu berkata, situasi yang berlaku itu turut mengakibatkan beberapa unit zon iaitu kuning, merah dan hijau di Jabatan Kecemasan HM terpaksa menempatkan pesakit COVID-19.

“Sehingga kini, katil bagi merawat pesakit COVID-19 di jabatan itu turut ditingkatkan kepada 60 katil berbanding 10 katil saja digunakan sebelum ini.

“Kita merancang untuk menjadikan laluan dan Zon Hijau ditutup dan pesakit tidak kritikal boleh mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Peringgit yang akan dibuka untuk 24 jam.

“Klinik kesihatan itu dianggarkan mampu menampung seramai 150 pesakit zon hijau dari Hospital Melaka,” katanya.

Mengulas lanjut ujarnya, kerajaan negeri turut bercadang menambah katil penjagaan kritikal dan peralatan kesihatan demi menampung keperluan unit rawatan rapi (ICU) di HM.

“Purata penggunaan katil di Melaka kini mencapai 155 peratus sekali gus memperlihatkan perjalanan Melaka masih jauh untuk mencapai kriteria Fasa Kedua dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

659
Kongsi :
Previous post Sayu lihat waris hanya di tepi pagar tanah kubur
Next post Melaka masih jauh ke Fasa 2 PPN
Ubah saiz-+=