COVID-19: Kanak-kanak tiga tahun antara dua kes terbaharu di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 15 Okt – Jangkitan COVID-19 di negeri ini merekodkan dua kes terbaharu termasuk seorang daripada kanak-kanak berusia tiga tahun, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, seorang daripada kes itu membabitkan jururawat berusia 29 tahun yang bertugas di sebuah hospital di Daerah Alor Gajah yang dijangkiti daripada seorang kakitangan hospital sebelum ini.

Katanya, seorang lagi pesakit COVID-19 membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun dikesan di Tanjung Minyak, Melaka Tengah.

“Bagaimanapun, kes kanak-kanak terbabit masih belum dikenal pasti punca jangkitan dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) masih menyiasat berhubung perkara itu.

“Daripada kedua-dua kes berkenaan, seramai 33 individu yang mempunyai kontak rapat telah menjalani ujian calitan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Kesihatan Negeri esok bagi membincangkan mengenai tindakan selanjutnya yang boleh diambil terhadap kes terbabit.

Sebelum ini, MHI melaporkan dua buah sekolah di Masjid Tanah, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubuk China dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Berembang diarah tutup selepas seorang pelajarnya dari sekolah terbabit disahkan positif COVID-19.

Rahmad dilaporkan berkata pelajar itu bagaimanapun tinggal di Kampung Nerambai Negeri Sembilan dan bersekolah di negeri ini.

Views:

814
Kongsi :
Previous post Laut bergelora tenang terima 2.5 tan abu al-Quran
Next post Gelombang ketiga COVID-19, hotel di Melaka rangka strategi baharu
Ubah saiz-+=