COVID-19: Kes baharu 1,683, tiga lagi kematian hari ini – KP Kesihatan

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR 7 Mac – Kes harian baharu COVID-19 di negara ini kekal di bawah 2,000 kes untuk dua hari berturut-turut dengan 1,683 kes dilaporkan hari ini.

Kes sembuh pula merekodkan 2,506 kes manakala terdapat tiga lagi kematian baharu akibat wabak itu menjadikan angka keseluruhan maut kini 1,169 individu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu itu menjadikan kumulatif kes positif dan kes sembuh masing-masing sebanyak 313,460 dan 291,958 kes manakala kes aktif kini 20,333.

“Kes baharu hari ini melibatkan 1,673 penularan tempatan dan 10 lagi kes import. Terdapat 174 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 81 daripadanya menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya menerusi ciapan di Twitternya mengenai perkembangan COVID-19, hari ini.

Selangor mencatat kes baharu tertinggi dengan 746 kes diikuti Sarawak (201); Pulau Pinang (172); Johor (158); Kuala Lumpur (125) dan Sabah (99).

Negeri Sembilan dan Perak masing-masing merekodkan 48 kes, Perlis (24), Kedah (15); Kelantan (12), Pahang (12), Terengganu (10), Labuan (lapan), Melaka (3) dan Putrajaya dua kes.

Sementara itu dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata kesemua kes kematian hari ini melibatkan warga tempatan iaitu seorang lelaki dan dua wanita dalam lingkungan umur 78 hingga 85 tahun dengan masing-masing menghidap penyakit kronik.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat lapan kluster baharu dikesan hari ini melibatkan lima kluster di tempat kerja, dua kluster pusat tahanan dan satu kluster penularan komuniti.

Kluster di tempat kerja membabitkan dua di Selangor iaitu Kluster Kemuning Enam dan Kluster Jalan Sungai Selangor, Kluster Industri Inanam di Sabah, Kluster Jalan Industri Tiga (Johor) dan Kluster Tapak Bina Jalan Satu (Kuala Lumpur).

“Kluster di pusat tahanan pula melibatkan Kluster Jalan Awang di Sarawak dan Kluster DTI Persiaran Wawasan di Perlis, manakala kluster dalam komuniti adalah Kluster Kiba di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata pengesanan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster di negara ini kini 1,199 kluster dengan 472 kluster masih aktif.

Katanya terdapat 14 lagi kluster diisytiharkan tamat hari ini sekali gus menjadikan jumlah kluster tamat sebanyak 727.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

373
Kongsi :
Previous post Tergamak curi wang bapa, barang kemas kakak
Next post PKPD Kampung Tanah Merah, Kota Marudu dilanjutkan hingga 22 Mac
Ubah saiz-+=