COVID-19: Kes baharu mingguan meningkat 21.5 peratus

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Sebanyak 14,525 kes baharu COVID-19 direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-42 (ME 42/2022) iaitu dari 16 hingga 22 Okt, meningkat 21.5 peratus berbanding 11,957 kes dicatatkan minggu sebelumnya (ME 41), kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Bilangan kes tempatan COVID-19 meningkat sebanyak 21.6 peratus iaitu 14,493 kes berbanding 11,916 kes (bagi minggu sebelumnya),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bilangan kes import pada ME 42 pula turun sebanyak 22 peratus dengan 32 kes dicatatkan berbanding 41 kes pada ME 41.

Bilangan kes kematian pada ME 42 naik sebanyak 70.6 peratus daripada 17 kes kepada 29 kes, manakala bilangan kes sembuh berkurangan 0.9 peratus kepada 11,078 kes berbanding 11,180 kes pada ME 41.

Dr Noor Hisham berkata purata kes aktif setiap hari bagi ME 42 ialah 24,867, iaitu turun sebanyak 9.4 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Beliau berkata dari 25 Jan 2020 iaitu ME 4 hingga 22 Okt 2022 (ME 42) secara kumulatif sebanyak 4,880,005 kes baharu COVID-19 dicatatkan sementara kes sembuh yang direkodkan ialah 4,816,278.

Katanya kumulatif kes kematian yang dicatatkan bagi tempoh sama adalah sebanyak 36,444 kes dan kumulatif kluster ialah 7,087 kluster dengan lapan kluster masih aktif.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk secara keseluruhan naik sebanyak 6.9 peratus pada ME 42 berbanding ME 41.

Jumlah kemasukan pesakit kategori satu dan dua naik sebanyak 18.2 peratus manakala jumlah pesakit kategori tiga, empat dan lima meningkat 9.5 peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada penganut agama Hindu di seluruh negara dan mengingatkan orang ramai supaya terus mengamalkan norma baharu dengan memakai pelitup muka terutama di kawasan sesak dan sempit. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1028
Previous post ‘Keluarga Malaysia’ raikan Deepavali di Melaka
Next post Isu royalti penggiat perfileman perlu dilihat semula – PM