COVID-19: Kes jangkitan dari luar Melaka meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 30 Dis. – Peningkatan kes COVID-19 di negeri ini yang berpunca daripada jangkitan dari luar Melaka meningkat kepada 25 kes setakat semalam berbanding hanya lapan kes pada bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, 14 daripada kes berkenaan adalah kontak kepada kes positif di negeri lain yang menyebabkan jangkitan kepada anggota keluarga dan komuniti di negeri ini.

Beliau berkata, jumlah berkenaan tidak termasuk kes import daripada saringan banduan di penjara negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman

“Pergerakan aktif masyarakat meningkatkan risiko transmisi dalam komuniti, terutama apabila anggota masyarakat leka dan tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Sebanyak 969 kes positif dicatatkan setakat 28 Disember lalu dengan jumlah kematian enam orang, iaitu 0.6 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

“Sebanyak 641 kes sembuh dengan peratus kesembuhan 66.2 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai supaya menangguhkan aktiviti merentas negeri dan mengelakkan pertemuan yang tidak penting.

Sesiapa yang bergejala dari kawasan berisiko seperti kawasan merah atau kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), harus segera menghubungi bilik gerakan daerah untuk penilaian risiko, katanya.

Mereka bagaimanapun harus melakukan kuarantin kendiri sebelum menjalani saringan kesihatan dan tidak harus merahsikan maklumat penting seperti kontak dengan kes positif COVID-19.

“Sila berada di rumah jika tiada urusan penting diluar dan jika ada urusan yang perlu dibuat, patuhilah SOP ditetapkan,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut diminta menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) Melaka dengan menelefon 06-2356999/6851 atau melalui e-mel [email protected]

Maklumat juga boleh diperoleh daripada Bilik Gerakan Daerah Melaka Tengah (06-2813353), Alor Gajah (06-5566391) dan Jasin (06-5293908).

Views:

352
Kongsi :
Previous post Zoo Melaka kurangkan kapasiti penonton dalam pertunjukan haiwan
Next post Zoo Melaka tidak patuh SOP adalah tidak benar – Jailani
Ubah saiz-+=