Zoo Melaka tidak patuh SOP adalah tidak benar – Jailani

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 30 Dis. – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis menyangkal kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung dakwaan isu tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di Zoo Melaka.

Malah katanya, gambaran seperti yang ditularkan dalam media sosial juga tidak benar sama sekali berikutan beberapa gambaran yang ditularkan dirakam dari sudut sisi dan menyukarkan pandangan jarak berbanding dirakam pada posisi hadapan.

“Kita memang melaksanakan pematuhan SOP tanpa kompromi terutama melibatkan penjarakan sosial di Zoo Melaka tapi yang dilihat kita, tak jarakkan itu adalah apabila terdapat pengunjung yang datang bersama keluarga mereka.

“Malah, penjarakan antara keluarga dan keluarga yang lain memang dilaksanakan dengan jarak sekurang-kurangnya dua kaki atau satu meter.

“Saya minta tolong, dalam kita memulihkan ekonomi pada pasca penularan COVID-19 janganlah ada yang menularkan perkara berunsurkan fitnah di media sosial, kalau tak boleh membina, jangan membinasakan,” tegasnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Zoo Melaka, sebentar tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman.

Jelasnya, pelbagai langkah keselamatan telah dilaksanakan oleh Zoo Melaka, termasuk langkah sanitasi dan disinfeksi secara berkala dalam kawasan terbabit.

Jelasnya, langkah sanitasi dan disinfeksi akan dilaksanakan dengan kerap di kawasan tumpuan seperti di Amphitheater zoo tersebut, selain mengehadkan kemasukan pengunjung pada setiap kali persembahan diadakan.

“Kita mengehadkan seramai 250 pengunjung dalam sebuah masa berbanding yang boleh memuatkan seramai 600 pengunjung dalam kawasan berkenaan dan pihak Zoo Melaka akan segera melaksanakan sanitasi setiap kali selepas sesi persembahan,” tambahnya.

Views:

805
Kongsi :
Previous post COVID-19: Kes jangkitan dari luar Melaka meningkat
Next post PTPTN catat jumlah deposit SSPN RM1.3 bilion sehingga 30 November
Ubah saiz-+=