Zoo Melaka kurangkan kapasiti penonton dalam pertunjukan haiwan

Masa Membaca:57 Saat

AYER KEROH 30 Dis. – Zoo Melaka akan mengurangkan kapasiti penonton dalam acara pertunjukan haiwan, berkuat kuasa serta merta.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Datuk Shadan Othman berkata, pengurangan penonton sehingga 50 peratus itu dilakukan susulan teguran yang diberikan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung ketidakpatuhan pengunjung di zoo berkenaan.

“Sebelum ini kapasiti bagi pertunjukan itu ialah sekitar 600 hingga 700 penonton pada satu-satu masa. Namun, kini kita akan mengurangkannya kepada 50 peratus sahaja dengan mengambil kira penjarakan fizikal.

“Sebaik sahaja penonton sudah mencapai had kapasiti yang ditetapkan, kita akan menutup pintu untuk pertunjukan itu dan pengunjung yang lain perlu menunggu sehingga waktu berikutnya untuk melihat pertunjukan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan turut memakluman pihaknya kini sudah meletakkan pelekat penjarakan fizikal di tempat duduk pertunjukan itu selain turut akan melakukan proses sanitasi di keseluruhan kawasan sejurus pertunjukan itu selesai.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam sidang media hariannya memberi teguran terhadap pengunjung zoo yang menonton pertunjukan tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

Jelasnya, tindakan tersebut menunjukkan kelonggaran yang diberi telah disalah gunakan orang ramai tatkala negara masih berperang dengan pandemik COVID-19.

Views:

1444
Kongsi :
Previous post Teruja terima bantuan persekolahan RM20,000
Next post COVID-19: Kes jangkitan dari luar Melaka meningkat
Ubah saiz-+=