Teruja terima bantuan persekolahan RM20,000

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TANJUNG KLING 30 Dis. – Seramai 100 kanak-kanak diraikan pada majlis sumbangan bantuan persekolahan sekaligus meringankan beban ibu bapa yang berdepan cabaran ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Kesemua kanak-kanak berusia antara lima hingga 13 tahun itu menerima sumbangan wang tunai RM100 dan kelengkapan persekolahan pada Program Kembali ke Sekolah anjuran Pelabuhan Tanjung Bruas di sini hari ini.

Ibu enam anak, Nurul Hartini Dollah, 34, berkata, dia sangat bersyukur dan berterima kasih apabila keempat-empat anaknya yang akan bersekolah tahun depan terpilih menerima sumbangan tersebut.

NURUL Hartini (tengah) bersama dua anaknya, Nurul Husna Qhaisara Ahmad Hazwan, 8, (kanan) dan Nurul Aina Batrisyah Ahmad Hazwan, 7, (kiri) melihat barang keperluan sekolah yang diterimanya pada program Back To School anjuran Tanjung Beruas Port bersama Japerun Pantai Kundor di Kampung Balik Bukit, Pantai Kundur. Foto: MR. Azli

“Syukur alhamdulillah kesemua anak saya berusia lima, tujuh, lapan dan sembilan tahun dipilih menerima sumbangan bernilai lebih RM700 ini.

“Dalam keadaan cabaran ekonomi akibat COVID-19 ketika ini, sumbangan ini sememangnya meringankan beban saya dan suami,” katanya.

Antara kelengkapan yang diterima mereka termasuklah beg sekolah, kotak pensel, set alat tulis dan kit COVID-19 iaitu pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Sumbangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan bersama-sama Pengurus Besar Pelabuhan Tanjung Bruas, Mohamad Nizam Ibrahim.

Sementara itu, kanak-kanak, Mohd Daniel Norhisham, 11, berkata, dia sangat teruja menerima sumbangan tersebut dan bersiap seawal pukul 7 pagi untuk ke program yang bermula jam 9 pagi.

“Saya rasa tidak sabar untuk ke sekolah dan menggunakan peralatan belajar yang serba baru,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lereh.

Terdahulu, Nor Azman dalam ucapannya turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pelabuhan Tanjung Bruas atas sumbangan yang dianggarkan bernilai RM20,000 itu.

“Saya harap sumbangan ini secara langsung dapat menaikkan semula semangat anak-anak di kampung ini untuk kembali ke alam persekolahan yang berbaki kurang sebulan lagi,” katanya.

Views:

658
Kongsi :
Previous post Tok penghulu positif ganja antara lima ditahan bersama air ketum
Next post Zoo Melaka kurangkan kapasiti penonton dalam pertunjukan haiwan
Ubah saiz-+=