Tok penghulu positif ganja antara lima ditahan bersama air ketum

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

MELAKA TENGAH 30 Dis. – Seorang penghulu bersama empat rakannya terpaksa menyambut tahun baharu di sebalik tirai besi apabila positif dadah dalam satu serbuan polis di sebuah rumah di Kampung Paya Datok, Alor Gajah di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, ketika serbuan  jam 2.50 petang semalam, penghulu dalam daerah Melaka Tengah berusia 48 tahun yang positif ganja itu sedang berada di luar rumah bersama empat rakannya berusia 48 hingga 63 tahun.

 

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri
Superintendan Zulkiflee Rashid

“Turut ditemui sepasukan polis dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah adalah kira-kira 15 liter disyaki air ketum di dalam 15 bungkus plastik lutsinar di atas meja di luar rumah rakannya itu .

“Kesemua OKT (orang kena tahan) memberi kerjasama ketika ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati empat positif THC (ganja) manakala seorang lagi positif Methamphetamine (syabu),” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di belakang rumah terbabit mendapati sebanyak 20 pokok ketum dan salah seorang OKT yang tinggal di rumah berkenaan mengakui merebus daun ketum untuk menghasilkan air.

SEBANYAK 15 bungkus plastik lutsinar disyaki air ketum yang dirampas.

“OKT sama kemudian bertindak mencantas semua pokok ketum berkenaan sebelum kelima-lima mereka direman selama empat hari sehingga 2 Januari depan.

“Semakan lanjut mendapati penghulu terbabit turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah pada 2015,” katanya.

POKOK ketum di belakang sebuah rumah yang diserbu polis di Kampung Paya Datok, Alor Gajah petang semalam

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Semua mereka turut berdepan hukuman di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Views:

1213
Kongsi :
Previous post Tiada rakyat Malaysia tinggal di kawasan pusat gempa bumi di Petrinja
Next post Teruja terima bantuan persekolahan RM20,000
Ubah saiz-+=