COVID-19: Kluster Bukit Sebukor catat kes jangkitan tertinggi hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 24 Jan. – Melaka merekodkan 152 kes jangkitan baharu hari ini dengan Kluster Bukit Sebukor menjadi penyumbang tertinggi, iaitu 89 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, sebanyak 144 daripada keseluruhan kes merupakan jangkitan tempatan manakala manakala lima lagi jangkitan import dan tiga kes adalah jangkitan di pusat tahanan.

Katanya, sebanyak 14 kluster dikesan masih aktif di negeri ini termasuk Kluster Serkam Tengah, Kluster Pantai Peringgit, Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang dan Kluster Rambai.

Selain itu, Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Tembok Kemus, Kluster Jalan Usaha, Kluster Tapak Bina Bali Residence dan Kluster Tembok Sungai Udang.

“Kluster Bukit Sebukor merekodkan jangkitan paling tinggi hari ini dengan 89 kes, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes kluster berkenaan adalah seramai 121 pesakit.

“Bagaimanapun, kluster berkenaan merebak di daerah Melaka Tengah sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat hari ini, jumlah keseluruhan kes yang aktif di negeri adalah seramai 1,232 orang termasuk tujuh ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) manakala empat lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Seramai 108 daripada jumlah itu ditempatkan di Hospital Melaka manakala 192 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC)

“Seramai 404 lagi menjalani kuarantin kendiri di rumah dan selebihnya masih dalam urusan penempatan,” katanya.

Jelasnya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengesan 39 kontak rapat kes yang positif virus berkenaan dan mereka sudah menjalani ujian calitan.

Dalam pada itu, Rahmad berkata terdapat satu kematian direkodkan hari ini iaitu di Merlimau membabitkan lelaki berusia 33 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit asma, menjadikan jumlah keseluruhan kematian seramai lapan orang.

“Selain itu sebanyak 77 kes sembuh direkodkan hari ini,” katanya.

tamat

Views:

979
Kongsi :
Previous post COVID-19: Rekod tertinggi 4,427 kes sembuh, kes aktif menurun
Next post Pemimpin parti dalam kerajaan PN berpuas hati dengan penjelasan dan perbincangan lanjut mengenai Ordinan Darurat
Ubah saiz-+=