COVID-19: Masjid, surau sekitar Tanjung Bidara ditutup sementara bagi tujuan sanitasi

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 28 Ogos – Kesemua surau dan masjid di lokasi di sekitar Tanjung Bidara termasuk Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak hanya ditutup sementara disebabkan kerja-kerja sanitasi sedang dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman berkata, isu yang ditularkan di media sosial berkaitan beberapa surau dan masjid termasuk hospital di kawasan terbabit didakwa telah ditutup dan diletakkan garis keselamatan adalah disebabkan tujuan sanitasi sahaja.

“Tiada arahan untuk penutupan terus terhadap masjid dan surau mahupun hospital itu telah dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Malah, jika ia dibenar tutup, ia merupakan atas inisiatif ahli jawatankuasa masjid dan surau di kawasan terbabit,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, menerusi kenyataan dikeluarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, HAT Kem Terendak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bertindak melaksanakan kawalan pantas melalui pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Kawalan Jangkitan Peringkat Hospital bagi tujuan isolasi dan siasatan lanjut.

Ujarnya, HAT turut terlibat dengan kerja-kerja bagi menjalankan dekontaminasi di kawasan disyaki teremar, ujian swab serta isolasi.

“Hingga kini 138 orang disyaki merupakan kontak rapat telah menjalankan ujian tersebut dan sedang menunggu keputusan selanjutnya.

“Pemantauan rapi dan penilaian berterusan terus dijalankan di Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM dan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka .

“ATM menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kebimbangan masyarakat setempat,” katanya.

Pada masa sama, kenyataan tersebut mengesahkan seramai tiga kes COVID-19 direkodkan positif telah dikesan di HAT Kem Terendak melibatkan dua kes membabitkan orang awam dan seorang anggota tentera disahkan menerima wabak itu apabila menerima rawatan di hospital terbabit pada 24 Ogos lepas.

Views:

400
Kongsi :
Previous post Replika Jalur Gemilang unik guna 2,240 keping kad putih terpakai
Next post Harga RON95, RON97 naik 1 sen, diesel turun 2 sen
Ubah saiz-+=