COVID-19: PATI punca kes mendadak di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 18 Dis. – Kemasukan 124 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Penjara Jalan Harapan, Kajang menjadi punca pertambahan mendadak kes positif COVID-19 di negeri ini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua PATI yang tidak disaring itu telah dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Machap Umboo pada 4 Disember lalu.

Jelasnya, kes pertama mula dikesan pada 14 Disember melibatkan tiga orang PATI yang dikesan positif COVID-19 semasa saringan pengusiran pulang.

PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Datuk Rahmad Mariman

“Kes positif DTI Machap Umboo ini melibatkan tiga blok tahanan. Susulan itu, seramai 289 individu (285 PATI dan 4 kakitangan DTI) telah disaring dan pada hari ini 139 kes baru positif COVID-19 dalam kalangan PATI telah dikesan menjadikan jumlah keseluruhan 142 kes positif di DTI Machap Umboo.

“Daripada 142 kes positif ini, seramai 112 kes (78.2%) merupakan PATI dari Penjara Jalan Harapan, Kajang.

“Jika dilihat peningkatan kes mutakhir ini, ianya tertumpu dalam kalangan banduan baharu atau orang kena tahan (OKT) yang ditempatkan di Pusat Koreksional Jasin dan terkini melibatkan tahanan DTI Machap Umboo,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, buat masa ini kesemua kes positif tersebut sedang dalam proses pemeriksaan kesihatan oleh pasukan perubatan yang dirawat di Hospital Melaka, PKRC DTI Machap Umboo atau PKRC MAEPS, Serdang.

Ujarnya, aktiviti pengesanan kontak juga akan diperluaskan ke semua blok tahanan dan juga kakitangan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dalam komuniti.

“Jabatan Imigresen Melaka akan memastikan tiada pergerakan keluar masuk PATI baharu dan hanya kakitangan yang ditetapkan sahaja untuk menguruskan tahanan di DTI.

“Saya menyeru orang ramai agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh MKN dan KKM. Orang ramai juga dinasihatkan agar merujuk kepada kenyataaan rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKN Melaka. Segala maklumat perlu dipastikan kesahihannya,” katanya lagi.

Views:

666
Kongsi :
Previous post Allahyarhamah Tun Rahah diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara – Muhyiddin
Next post TYT Melaka beri penghormatan terakhir kepada Tun Rahah
Ubah saiz-+=