TYT Melaka beri penghormatan terakhir kepada Tun Rahah

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

MELAKA 19 Dis. – Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam memberikan penghormatan terakhir ke atas Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di rumahnya di Jalan Eaton, Kuala Lumpur malam tadi menurut sumber hantaran Facebook Perikatan Nasional Melaka.

Kenyataan rasmi Istana Melaka hari ini menyebut, Tun Mohd Ali serta isteri, Toh Puan Asmah Abdul Rahman merakamkan salam takziah buat keluarga Allahyarhamah Tun Rahah.

“TYT Tun dan Toh Puan serta keluarga merakamkan salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Tun Rahah yang telah kembali ke Rahmatullah pada 18 Disember 2020. Ucapan takziah juga kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak atas kepulangan bonda tercinta ke Rahmatullah.

“Semoga seluruh keluarga Allahyarhamah sabar dan tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini. Didoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman,” jelas kenyataan tersebut.

Difahamkan, Tun Mohd Ali semalam meluangkan masa selama hampir satu jam 30 minit selepas tiba di kediaman Tun Rahah di Jalan Eaton, Kuala Lumpur pada jam 9.45 malam.

Rahah, 87 yang juga balu kepada bekas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein, dilaporkan meninggal dunia, petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court.

Jenazah akan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara dan akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara, tengah hari ini.

Semalam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar menziarahi Tun Rahah.

Selain Seri Paduka Baginda, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan menziarahi balu bekas Perdana Menteri kedua itu.

Sebelum itu, beberapa pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin lain turut menziarahi Allahyarhamah.

Views:

2048
Kongsi :
Previous post COVID-19: PATI punca kes mendadak di Melaka
Next post Sultan Selangor, Sultan Perak berkenan ziarah Tun Rahah
Ubah saiz-+=