COVID-19: Rakyat Malaysia antara 15 kes import tidak bergejala di Singapura

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

SINGAPURA 20 Dis. – Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan satu daripada 17 kes COVID-19 yang diimport di republik seperti yang diumumkan Sabtu, adalah melibatkan seorang lelaki Malaysia berusia 54 tahun.

Dilabelkan sebagai kes 58629, pemegang permit jangka pendek yang tiba dari Malaysia untuk projek kerja di negara itu telah diasingkan sejurus tiba di Singapura, menurut data penuh kementerian berkenaan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Menurut kementerian itu, lelaki berkenaan serta 14 kes import lain adalah tidak bergejala, yang dikesan daripada pengawasan dan saringan proaktif.

Setakat tengah hari Sabtu, republik ini melaporkan sejumlah 17 kes baharu tanpa jangkitan dalam komuniti atau tinggal di asrama, menjadikan jumlah jangkitan kini 58,403.

Sehingga kini MOH telah mengklasifikasikan 1,622 kes yang dilaporkan sebagai diimport; 2,275 kes dalam komuniti dan 54,506 kes melibatkan penghuni asrama.

Kira-kira 99 peratus atau 58,274 kes telah sembuh sepenuhnya manakala 38 kes masih dirawat di hospital dan tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 62 pesakit bergejala ringan atau secara klinikal sihat namun masih diuji positif COVID-19, telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Sehingga kini, 29 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19 di Singapura, dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac, manakala kematian terakhir dilaporkan pada 28 Nov lepas.

Singapura telah menamatkan kluster coronavirus terakhir, iaitu asrama pekerja asing pada 25 Nov.

— BERNAMA

Views:

246
Kongsi :
Previous post TYT rasmi program tanam Pokok Kelat Paya
Next post The many shades of the Ferringhi
Ubah saiz-+=